fbpx

K2

Gah pesawat pemimpin dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Trump menaiki pesawat Boeing 747-200B yang digelar Air Force One.- AFP

DARI jauh, pesawat berwarna biru lembut, putih dan perak pada bahagian luar itu tidak ubah seperti kapal terbang komersial lain. Namun, selepas diamati, pesawat gergasi itu yang memaparkan perkataan United States of America dan logo helang itu memang mempunyai auranya tersendiri.

Pesawat Boeing 747-200B itu sentiasa menjadi buruan lensa dan tumpuan ramai. Hal ini kerana kenderaan itu adalah pesawat rasmi lelaki paling berkuasa dan berpengaruh di dunia iaitu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Pesawat terkenal itu yang dinaiki Trump saat menghadiri urusan rasmi ke luar negara diberikan jolokan Air Force One. Difahamkan, terdapat dua buah pesawat Air Force One.

Bukan sahaja dikenali sebagai pesawat Presiden AS, malah juga menjadi simbol kekuatan ketenteraan negara itu. Biarpun merupakan pesawat Boeing model 747-200B, namun spesifikasinya telah diubah suai sepenuhnya mengikut kehendak dan keperluan kenderaan rasmi presiden.

AIR FORCE ONE yang dinaiki oleh Trump bernilai AS$1 bilion. – AFP

Menurut laporan laman web Air Charter Service, Air Force One dilengkapi ciri luar biasa dengan kos keseluruhan mencecah AS$1 bilion (RM4.3 bilion).

“Pesawat itu mampu mencapai kelajuan hingga 1,000 kilometer sejam (km/j) dengan jarak penerbangan terus sejauh 14,000 kilometer (km).

“Pesawat ini jimat bahan bakar berbanding model asalnya dan berkemampuan mengisi bahan bakar di udara, sekali gus membolehkan kekal di udara lebih lama,” ujar laman web berkenaan.

Ruang kabinnya berkeluasan 370 meter persegi dan dipenuhi pelbagai kemudahan mewah. Antara kemudahan yang disediakan termasuk bilik tidur, bilik mandi, gimnasium, pejabat dan bilik mesyuarat.

Mengagumkan juga apabila pesawat berkapasiti 70 penumpang dan 26 anak kapal pada satu masa itu turut memiliki bilik rawatan yang boleh diubah suai menjadi dewan bedah.

Pesawat dua tingkat ini berupaya melindungi presiden apabila dilengkapi ‘perisai’ elektromagnetik yang bersifat kalis radar dan mempunyai talian komunikasi yang tidak boleh diceroboh.

Menurut kenyataan dikeluarkan oleh Tentera Udara AS (USAF), Air Force One dilengkapi pelbagai teknologi dan dibangunkan dengan kemudahan-kemudahan yang membolehkan Trump menjalankan pemerintahan persekutuan sewaktu dalam penerbangan.

“Ia merangkumi modifikasi peningkatan kuasa elektrik, sistem komunikasi satelit dan kemudahan perubatan.

“Kami juga telah membangunkan pesawat ini dengan sistem keselamatan khusus yang berkeupayaan menangkis serangan dan menyerang kembali pihak musuh,” ujar kenyataan USAF.

Emas

Sementara itu, Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al-Thani menaiki Boeing 747-8 BBJ untuk kegunaannya dan keluarga diraja. Setiap penerbangannya akan disertai lebih sebuah pesawat dengan 1,000 ahli rombongan.

Pesawat itu dilengkapi pelbagai kemudahan mewah, selain ruang kargo yang mampu memuatkan kenderaan limosin dan bekalan makanan.

Tidak kurang hebatnya ialah Presiden Rusia, Vladimir Putin yang menggunakan keseluruhan 132 kapal terbang dengan pesawat Ilyushin IL-96-300PU sebagai pesawat utamanya.

Menurut laporan laman web Paramount Business Jet, pesawat buatan negara itu telah diubah suai sepenuhnya merangkumi aspek dalaman dan keselamatan.

Meskipun bahagian luar pesawat kelihatan sama dengan model asal, namun ruang kabinnya dihiasi dengan dekorasi mewah dan permaidani benang emas.

“Rekaan dalaman IL-96-300PU mendapat sentuhan pereka dalaman terkemuka Rusia, Ivan Glazunov,” ujar kenyataan tersebut.

PUTIN di dalam pesawat Ilyushin IL-96-300PU yang berdekorasi keemasan sentuhan pereka dalaman terkemuka Rusia. Glazunov. – AFP

Salah satu ciri menarik, pesawat berkelajuan 900 km/j itu mempunyai lapisan khas pada bahagian badannya untuk mengelak dikesan radar musuh selain berkuasa mengganggu radar lawan.

Ketua Pengarah Penerbangan Khas Rusia, Yaroslov Odintsev berkata, beliau yakin teknologi yang ada pada IL-96-300PU mampu ‘mewakili’ Rusia di ruang udara antarabangsa.

Bagi Jerman pula, pesawat Airbus A340-133X yang dianggarkan bernilai AS$300 juta (RM1.3 bilion) digunakan oleh Canselor Jerman, Angela Merkel.

Terkenal dengan gelaran Konrad Adenauer yang diambil sempena nama Canselor Jerman pertama, pesawat itu mempunyai tangki bahan bakarnya yang besar. Ia sekali gus membolehkannya terbang tanpa henti sejauh 13,500 km. Jarak tersebut mampu menghubungkan ibu kota Berlin dengan bandar raya utama dunia seperti Washington, Beijing, China dan Rio de Janeiro, Brazil.

Britain pula menyediakan pesawat Airbus A330 untuk Perdana Menteri, Boris Johnson yang telah diubah suai dengan sebuah bilik gelap tertutup di bahagian depan pesawat.

China pula tidak menyediakan kapal terbang khusus untuk kegunaan Presidennya, Xi Jinping sewaktu lawatan ke luar negara. Sebaliknya, negara itu memilih menggunakan pesawat Boeing 747-400 milik syarikat penerbangan Air China sebagai pesawat rasmi.

RUANG dalaman pesawat Putin yang dilengkapi katil dan sofa.- AGENSI

Beberapa minggu sebelum pesawat digunakan presiden, ia perlu diperiksa secara teliti bagi memastikan keselamatannya sentiasa terjamin.

Selepas pemeriksaan keselamatan, pesawat menjalani proses membuang tempat-tempat duduk penumpang bagi mewujudkan ruang rehat, bilik tidur dan pejabat presiden.
Setelah tamat lawatan, kapal terbang berkenaan perlu diserahkan kembali kepada Air China untuk kegunaan komersial.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI