fbpx

Dalang pindah PATI Rohingya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian etnik Rohingya ditemui bersembunyi di Pulau Rebak Besar, Langkawi semalam.

LANGKAWI – Maritim Malaysia (APMM) mengesyaki penglibatan bot nelayan tempatan dalam penyeludupan 28 pendatang asing tanpa izin (PATI) etnik Rohingya ke Pulau Rebak Besar di sini pada Sabtu lalu.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, pihaknya percaya kesemua PATI itu dipindahkan dari bot induk berhampiran sempadan ke bot nelayan untuk dibawa ke pulau persendirian tersebut.

Kata beliau, kesemua etnik Rohingya diletakkan di kawasan hutan di pulau itu untuk bersembunyi sebelum mereka dipercayai akan bergerak dalam kumpulan kecil ke Pulau Langkawi.

“Maritim Malaysia (APMM) memandang serius perkara ini dan ingin mengingatkan kepada nelayan terlibat supaya tidak bersubahat dengan sindiket penyeludupan manusia ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Pulau Rebak Besar terletak kira-kira tiga kilometer dari Pantai Chenang dan perjalanan ke pulau itu dengan bot memakan masa tujuh minit.

Dalam pada itu, kata beliau, seramai 27 etnik Rohingya yang dikhuatiri lemas ditemui selamat dan bersembunyi di pulau persendirian tersebut.

“Berikutan aduan seorang nelayan yang menemui seorang lelaki Rohingya di Pulau Rebak Besar, Bot Kilat APMM digerakkan ke lokasi dan menjumpai 26 lagi PATI dari etnik sama di pulau tersebut kira-kira pukul 6.15 petang semalam,” ujarnya.

Menurut Mohd. Zawawi, PATI yang ditahan berusia antara lima hingga 45 tahun dan mereka ditemui dalam keadaan letih dan lapar.

Tambahnya, pihaknya percaya kemasukan etnik Rohingya itu mempunyai kaitan dengan tangkapan dua tekong darat di pulau peranginan ini baru-baru ini.

Kosmo! hari ini melaporkan seramai 24 PATI etnik Rohingya didakwa hilang dipercayai lemas di perairan barat Pulau Langkawi di sini pada Sabtu lalu.

Kesemua PATI itu dikatakan terjun dari bot, namun hanya seorang daripada mereka ditemui dan ditahan pihak polis. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI