Lebih 200,000 warga Myanmar daripada etnik Rohingya dilaporkan berada di negara ini dan tinggal berselerak termasuk di kawasan kampung dengan melakukan pelbagai kerja rencam.
Kebanyakan mereka menikmati kehidupan yang baik hasil keamanan serta kemakmuran Malaysia. Ada juga yang hidup senang berbekalkan usaha dan kerajinan mereka sendiri.
Kehidupan selesa itu sekali gus menarik lebih ramai saudara mara dan rakan sehingga sanggup menggadai nyawa menaiki bot usang dari Myanmar.
Dalam kejadian terbaharu, kira-kira 300 migran etnik Rohingya dan Bangladesh menaiki sebuah bot sebelum dipindahkan ke bot kecil berhampiran sempadan Thailand-Malaysia.
Bot kecil dinaiki kira-kira 70 migran itu dipercayai karam dekat Pulau Tarutao, Thailand sebelum 43 mangsa termasuk 29 yang sudah meninggal dunia hanyut ke perairan Langkawi. Kira-kira 10 lagi mayat ditemui di perairan Thailand.
Perairan Langkawi sering menjadi laluan pilihan sindiket penyeludupan manusia kerana lokasinya yang hampir dengan sempadan Thailand dan berada di laluan laut utama dari Myanmar serta Bangladesh.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum ini menyatakan konflik dalaman di Myanmar sudah melangkaui sempadan negara dan ASEAN bersetuju terhadap keutamaan bagi memastikan pihak di sana menghentikan pertelagahan.
Pakar kriminologi, Dr. Zalmizy Hussin berkata, kemasukan migran tanpa izin boleh memberi kesan besar terhadap keselamatan dan kestabilan sosial sekiranya tidak dikawal dengan berkesan.
“Daripada sudut keselamatan, kemasukan tanpa dokumen yang sah menyukarkan pihak berkuasa untuk menyaring latar belakang dan identiti setiap individu yang tiba,” katanya.
Menurutnya, keadaan itu turut membuka ruang kemasukan unsur ekstremis, ejen sindiket atau individu berisiko tinggi mengancam keselamatan awam.
Beliau berkata, kelemahan kawalan sempadan juga boleh dimanipulasi pihak berkepentingan untuk pemerdagangan manusia atau buruh paksa.
Daripada sudut sosial, kemasukan migran tanpa status sah meningkatkan tekanan terhadap kemudahan awam seperti kesihatan, pendidikan dan perumahan.
“Wujud juga risiko ketegangan sosial jika terdapat persepsi bahawa pendatang mengambil alih peluang pekerjaan, walaupun mereka biasanya bekerja dalam sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) yang kurang diminati rakyat tempatan,” jelasnya.
Tambahnya, pelarian yang tidak dibenarkan bekerja secara sah mudah menjadi mangsa eksploitasi dan jenayah, sekali gus menimbulkan kebimbangan masyarakat.
Menurutnya, Malaysia bukan pihak kepada Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol 1967, menyebabkan pelarian termasuk Rohingya tetap dianggap pendatang asing tanpa izin (PATI) walaupun memiliki kad
Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Pelarian (UNHCR).
Beliau mencadangkan kerajaan mempertimbangkan pendekatan lebih pragmatik seperti membenarkan sebahagian pelarian bekerja secara sah bagi mengurangkan beban sosial dan melemahkan sindiket penyeludupan.














