fbpx
Miera Leyana menerima lamaran Rosland selepas sekian lama mengenali hati budinya. - Foto Ihsan The Affiliates

Miera Leyana sah bergelar isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Selepas hampir empat tahun mengenal hati budi, pelakon, Miera Leyana, 27, selamat diijabkabulkan dengan usahawan, Rosland Othman, 40-an di sebuah hotel terkemuka di sini, pada pukul 8.45 malam tadi.

Dengan sekali lafaz, pasangan itu selamat dinikahkan oleh bapa Miera, Datuk Seri Kasmi Arsat dalam satu majlis tertutup yang hanya dihadiri oleh ahli keluarga dan sahabat terdekat.

Rosland (baju putih) dinikahkan oleh Kasmi dalam satu majlis tertutup di sebuah hotel terkemuka sebentar tadi. – Foto Ihsan The Affiliates

Pelakon drama Memori Cinta Suraya itu turut menerima mas kahwin berjumlah RM100.

Miera berkata, dia dan suami bersyukur pada Allah SWT  kerana akhirnya disatukan sebagai suami isteri yang sah.

“Saya mengucapkan terima kasih atas doa dan restu dalam penyatuan dua hati pada malam ini.

“Secara jujurnya, saya tak sangka akan mengahwini seorang lelaki yang pada awalnya hanya sekadar teman baik. Kami memang tak beriya-iya bercinta seperti pasangan lain, cuma saya sangat selesa berkawan dengannya,” katanya kepada Kosmo! Online sebentar tadi.

Menurut Miera, mereka mula berkenalan dalam sebuah majlis pelancaran empat tahun lalu.

Berkongsi detik indah, dia terkejut apabila Rosland meluahkan isi hati dan melamarnya sebagai isteri pada Mei lalu.

Dalam majlis yang bertemakan klasik dan moden, Miera anggun mengenakan busana putih perak manakala Rosland segak menggayakan persalinan rona sama, hasil sentuhan pereka fesyen, Rizman Ruzaini.

Sementara itu, pelamin dan dekorasi serta perunding perkahwinan oleh The Calla. – K! ONLINE