fbpx

MHC jamin tiada isu wang kemenangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANIL (kiri) menunjukkan borang yang perlu diisi oleh setiap pasukan yang akan menyertai Kejohanan Piala Razak dalam sidang akhbar di Stadium Hoki Nasional hari ini.

KUALA LUMPUR – Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) memberi jaminan tidak akan berlaku isu kelewatan hadiah wang kemenangan kepada pemenang-pemenang untuk saingan Piala Razak yang akan berlangsung dari 18 hingga 26 September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan MHC, Datuk Seri Dr. Anil Jeet Singh yakin isu berkenaan tidak akan berulang seperti terjadi kepada pasukan-pasukan Liga Hoki Malaysia (MHL) pada awal Mac lalu.

“Sebetulnya bukan isu kerana tiba-tiba ada PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) selepas tamat MHL. Bukan senang apabila PKP… nak pergi pejabat atau jumpa orang pun susah.

“Perkara ini tidak akan berlaku lagi dan saya harap jangan ada lagilah PKP selepas ini,” katanya dalam sidang akhbar Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pertandingan MHC kali kelima di Stadium Hoki Nasional hari ini.

Saingan Piala Razak kali ini bakal menyaksikan 15 pasukan lelaki yang akan dibahagikan sebanyak empat kumpulan, berentap merebut hadiah wang tunai RM10,000 untuk juara, RM7,000 (naib juara) dan RM5,000 (tempat ketiga).

Bagi kategori wanita, sebanyak 11 pasukan telah mengesahkan penyertaan dengan hadiah wang tunai berjumlah RM5,000 untuk juara, RM3,000 (naib juara) dan RM2,000 (tempat ketiga).

Skuad hoki lelaki Sarawak membuat keputusan untuk menarik diri, manakala Johor, Sabah, Melaka, Perlis dan Kelantan tidak akan mengambil bahagian untuk kategori wanita.

Setiap pasukan bertanding perlu mengikut prosuder operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan dan pada masa sama perlu mengisi borang yang akan disediakan oleh pihak MHC sehari sebelum pertandingan tersebut berlangsung.

Sebagai rekod, Piala Razak adalah kejohanan kedua di Malaysia dianjurkan selepas saingan Liga Malaysia bulan depan sejak arena sukan negara terjejas ekoran penularan wabak pandemik Covid-19 sejak Mac lalu. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI