SAAT orang ramai berpolemik tentang kualiti kulit album terbaharu penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza berjudul ManifestaSITI2020, penulis lebih ingin memberi fokus terhadap kandungan lagu yang dimuatkan dalam album studio solonya ke-18 itu.
Sejujurnya, penulis bukan tergolong antara peminat tegar Siti atau nama lengkapnya Siri Nurhaliza Tarudin, namun membesar dengan karya muzik ibu kepada Siti Aafiyah Khalid itu seawal tahun 1995 lagi.
Sedari Jerat Percintaan sehingga kini, Siti tetap unggul melahirkan karya-karya yang meniti di bibir pendengar. Tidak keterlaluan juga Siti dikelaskan antara penyanyi kelahiran era 1990-an yang masih utuh bersaing dan relevan di mata peminat.
Berbalik tentang ManifestaSITI2020, memuatkan enam lagu baharu, kandungannya bersulam lima lagi nukilan yang pernah diluncurkan sebagai single sebelum ini. Enam lagu baharu tersebut termasuklah Siapa Tak Mahu, Aku Bidadari Syurgamu, Tertulis Nama Kita, Kuasa Cintamu, Takhta Dunia dan Teratai Menjelma.
Lima lagu lain pula adalah Kasihku Selamanya, 7 Nasihat, Basyirah, Terang dan Anta Permana.
Jika direkodkan dalam bentuk turutan lagu pilihan kalbu, carta teratas satu tentunya Aku Bidadari Syurgamu, Kedua dan Siapa Tak Mahu. Pilihan ketiganya Teratai Menjelma, manakala tempat keempat hingga keenam boleh sahaja diisi dengan Tertulis Nama Kita, Kuasa Cintamu atau Takhta Dunia.
Aku Bidadari Syurgamu ciptaan Ippo Hafiz, manakala lirik tulisan Siti Rosmizah memiliki melodi yang indah. Ippo bijak membeli jiwa pendengar dengan melazimkan muzik dengan sentuhan 1990-an, sekali gus mesra pada halwa telinga.
Liriknya pula puitis dan sangat mudah dihadami. Syabas buat Rosmizah yang bertindak sebagai penulis lirik. Buat penulis, tidak mustahil lagu berkenaan dijadikan sebagai single selanjutnya daripada album berkenaan.
Tersendiri
Lagu Siapa Tak Mahu pula mempunyai sentuhan magis tersendiri. Karya ciptaan Ikhwan Fatanna, John Jeevasingham dan Omar K tersebut begitu mudah melekat di minda. Kedudukannya pada trek pertama turut menyumbang banyak kelebihan.
Pun begitu, lagu tersebut bukan sekadar omongan kosong sebaliknya sarat dengan pesanan berguna buat pasangan bercinta atau berkasih sayang. Melodinya rancak bersulam prakorus yang yang mengambil inspirasi daripada lagu rakyat berjudul Tanya Sama Pokok menjadikan buah tangan tersebut cukup unik.
Lagu berkenaan mengubat kerinduan peminat yang sudah lama dahagakan nukilan segar sebagaimana yang pernah dinikmati menerusi Ku Milikmu atau Ku Mahu. Semasa mengamati lagu berkenaan, sudah terbayang klip video yang bakal dihasilkan Siti.
Lagu yang menduduki tangga Top 3 pilihan penulis memihak terhadap dendangan asal penghibur legenda, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad berjudul Teratai Menjelma. Karya berkenaan begitu cocok dengan vokal merdu dan klasik Siti.
Tidak adil membandingkan versi Siti dan Sudirman, namun apa yang boleh penulis simpulkan, Siti telah menghidupkan semula keindahan alunan inang Teratai Menjelma dalam wadah terbaik.
Bukan mudah untuk seseorang penyanyi zaman sekarang melahirkan karya bergenre tradisional, namun di tangan Siti, Teratai Menjelma seumpama malam bersiram cahaya purnama.
Sengaja penulis lompongkan pendapat untuk lagu-lagu lain, terutama yang sudah dilancarkan sebagai single. Semua pembaca sudah bijak menilai kualiti lagu-lagu berkenaan yang sudah sebati di jiwa. Lagu-lagu lain pula, secara peribadinya belum larut dalam siulan penulis, barangkali perlukan sedikit mengambil masa untuk sampai ke tahap sedemikian.
Vokal Siti pula seindah sebagaimana lazimnya nama beliau terukir sebagai biduanita pujaan ramai.
Biarpun sudah mencecah usia 41 tahun, setiap baris nyanyian yang terbit daripada suara figura itu masih berada di papan atas. Sudah berdekad lama di persada negara juga, Siti bagaimana tetap dihimpit kritikan kononnya ton suara suara beliau sudah kedengaran tidak seperti dahulu.
Apa pun, ManifestasiSiti2020 masih berupaya menepis angin negatif dan terus menjulang Siti sebagai penyanyi nombor satu untuk dua dekad kelananya dalam belantara muzik negara.
Kongklusinya, album berkenaan juga adalah bukti ampuh mengapa Siti Nurhaliza masih bergelar penyanyi nombor satu Malaysia. Campaklah genre apa sekalipun, beliau mampu melaksanakannya dengan cela yang sangat minima. Kenapa? Jawapannya mudah, Siti tiada tolok bandingan.