fbpx
Siti Nurhaliza membuat konsert di Royal Albert Hall, London (kiri) sempena meraikan dekad pertamanya dalam industri muzik diikuti di Stadium Negara (tengah) sempena dekad keduanya dan Stadium Nasional Bukit Jalil (kanan) dekad ketiga.

Tiap dekad ‘takluk’ mercu ikonik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MALAM ini andai terlaksana bagai direncana, satu lagi sejarah baharu bakal dicipta Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin apabila kembali beraksi di stadium terbesar Asia Tenggara, Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Dengan ‘penaklukan’ SNBJ sempena 30 tahun dalam industri, Siti bagai melestarikan keraian pencapaian setiap dekadnya di mercu-mercu ikonik setelah melakukannya di Royal Albert Hall (RAH), London, England sempena dekad pertama pada 2005 dan sempena dekad kedua di Stadium Negara, Kuala Lumpur menerusi Konsert Siti and Friends pada 2016.

RAH dianggap sangat berprestij kerana ia adalah ‘venue’ ikonik di United Kingdom yang menjadi tempat ramai legenda muzik dunia misalnya The Beatles, Jimi Hendrix, Abba, Led Zeppelin sehinggalah Muse, Adele dan Dua Lipa membuat persembahan.

Bangunan bersejarah yang dibuka pada tahun 1871 itu juga menjadi tuan rumah konsert klasik terhebat (The Proms) dan menjadi pentas kejayaan bersejarah untuk artis Malaysia seperti Allahyarham Datuk Sudirman Arshad yang dinobatkan Penghibur No.1 Asia di situ pada tahun 1989 dan Siti yang mengadakan konsert solo di bangunan seni bina Rom amphitheater itu.

Beraksi di Royal Albert Hall adalah impian bagi setiap penghibur dan menandakan tahap tertinggi dalam karier sekali gus menjadikannya salah satu ‘venue’ paling berprestij di dunia. RAH juga memegang rekod Guinness World Records dengan binaan siling kubah kaca terbesar dunia.

Sementara itu, Stadium Negara ialah stadium tertutup pertama di Malaysia. Mercu ikonik itu dibuka secara rasmi pada 1962 dan juga merupakan bangunan pascakemerdekaan yang membentuk naratif negara.

SNBJ pula dengan kapasiti 85,500 penonton ialah stadium terbesar di Malaysia dan Asia Tenggara yang mula dibina sempena Sukan Komanwel 1998 sekali gus menjadi stadium ikonik kebanggaan negara.

Siti telah melakar sejarah tersendiri di dua ‘venue’ dekad-dekad terdahulu. Konsert RAH mencipta sejarah apabila Siti menjadi artis dari Asia Tenggara pertama yang mengadakan konsert solo di situ selain artis pertama Asia mempersembahkan konsert di bawah muzik dari The London Symphony Orchestra (TLSO).

Di konsert Siti and Friends pula, Siti melakar sejarah tersendiri dengan berduet bersama Whitney Houston apabila diberi kebenaran oleh pihak pengurusan harta penyanyi legenda Hollywood itu untuk merakamkan semula lagu Memories secara duet menggunakan vokal asal mendiang.

Di SNBJ pula, ini kali kedua Siti membuat konsert di situ selepas Siti Nurhaliza Fantasia Tour pada 22 tahun lalu. Pasti ramai ternanti-nantikan apakah kejutan yang bakal dibuat penyanyi itu setelah menyanyikan lagu Aku Cinta Padamu pelbagai versi rentak pada 2004 sehingga ia tiba-tiba menjadi fenomena tahun lalu dalam kalangan generasi baharu di TikTok kerana disangka modifikasi kecerdasan buatan (AI).

Apa pula yang bakal disajikan Siti versi 2026 pada kemunculan di SNBJ malam ini? Sama-sama kita nantikan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN