fbpx

Tinju hanya hantar prospek emas ke Vietnam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IRUAN (kiri) mengesahkan bahawa hanya petinju yang berpotensi menyumbang emas sahaja akan dihantar ke Sukan SEA Vietnam tahun depan.

KUALA LUMPUR – Persekutuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) menyahut cabaran Majlis Olimpik Malaysia yang mahu prospek emas sahaja dihantar menyertai Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam dari 21 November hingga 2 Disember tahun depan.

Timbalan Presiden PTAM, Iruan Zulkefli menjelaskan, pihaknya akan memberikan segala kemudahan supaya persediaan setiap petinju berada pada tahap terbaik bagi memastikan sukan itu mampu menghadirkan kejayaan buat negara.

Antara langkah yang akan diambil PTAM adalah dengan menghantar atlet-atlet berlatih di luar negara bermula tahun depan selain menyediakan jurulatih berpengalaman dari luar negara dan tempat latihan baharu yang lebih berkualiti.

Justeru, beliau menegaskan, peluang terbuka kepada semua petinju kerana ia tidak semestinya dalam kalangan enam atlet di bawah Program Podium tetapi hanya yang terbaik akan dihantar mewakili negara ke Vietnam tahun depan.

“Kita akan pilih enam atlet Program Podium yang berpotensi memenangi pingat emas, mungkin dua atau tiga daripada mereka.

“MOM sudah menetapkan prospek emas sahaja ke Sukan SEA 2021. Jadi, kami menganggap ia sebagai satu cabaran buat kami,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani kontrak atlet tinju Podium dan Pelapis Kebangsaan di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) Keramat, Kuala Lumpur hari ini.

Enam petinju yang tersenarai dalam Program Podium dengan kontrak sehingga 31 Disember depan ialah Rasdenil Haikal Fazil, Khir Akyazlan Azmi, Akram Rasid, Muhamad Fuad Redzuan, Halim Izani Othman dan Mohd. Aswan Che Azmi.

Sebagai rekod, skuad tinju negara berjaya meraih tiga pingat gangsa pada Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina melalui Fuad dalam acara light flyweight kategori 46-49 kilogram (kg), Aswan (middleweight 75kg) dan Khir Akyazlan (light heavyweight 81kg). K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI