fbpx

Pengedar dadah dicekup selepas sebulan beroperasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dadah bernilai RM55,350 yang dirampas polis dalam satu serbuan di Pantai Dalam, Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Kegiatan seorang lelaki tempatan yang mengedar pelbagai jenis dadah sejak sebulan lalu tidak berpanjangan selepas dia ditahan polis dalam satu serbuan di bawah blok sebuah pangsapuri dekat Pantai Dalam di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner, Zairulnizam Mohd. Zainuddin berkata, tangkapan dibuat kira-kira pukul 5.45 petang oleh anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields hasil risikan yang dilakukan.

“Suspek warga tempatan berusia 28 tahun itu didapati baru melibatkan diri dengan aktiviti pengedaran dadah di kawasan tersebut sejak sebulan yang lalu dan pemeriksaan ke atasnya telah menemui dadah jenis methamphetamine seberat 1,020 gram dan erimin 5 seberat 265 gram bernilai RM55,350.

“Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis THC dan semakan mendapati lelaki tersebut turut mempunyai empat rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Zairulnizam, pihak polis kini sedang mengesan seorang lagi lelaki tempatan yang dipercayai membekalkan dadah kepada suspek untuk dijual.

“Suspek kini ditahan reman selama enam hari sehingga 28 Julai depan dan kes disiasat di Bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati.

“Orang ramai diberi amaran keras agar tidak melibatkan diri dengan kegiatan pengedaran serta penyalahgunaan dadah malah tindakan tegas akan dikenakan jika disabitkan kesalahan,” jelas beliau. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI