fbpx

Tangani Covid-19 elak ramai menganggur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.
SHAZWAN YUSOP

 

PENULARAN pandemik Co­vid-19 di seluruh dunia termasuk Malaysia sejak akhir tahun lalu memberi kesan negatif terhadap ekonomi sesebuah negara apabila perintah sekatan pergerakan dilaksanakan.

Malaysia mengambil langkah sama melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19 dalam kalangan masyarakat.

Sepanjang tempoh PKP, perhimpunan ramai, aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya dilarang sama sekali.

Rentetan itu, banyak sektor ekonomi terjejas antaranya ialah pelancongan, perhotelan, penerbangan dan pendidikan.

Akibatnya, banyak syarikat terpaksa mengecilkan operasi dengan memberhentikan sebahagian pekerja dan tidak kurang juga yang mengambil langkah ‘gulung tikar’ ekoran ketidakupayaan untuk terus beroperasi.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia pada 14 Mei lalu, kadar penggangguran dalam negara dijangka meningkat kepada 5.5 peratus atau lebih 860,000 orang pada akhir tahun ini.

Malaysia tidak pernah me­nyaksikan kadar pengangguran 5 peratus sejak tahun 1990 dan rata-rata adalah 3.2 peratus di antara 2010 dan 2019.

Hakikatnya, permasalahan ekonomi tersebut bukan sahaja berlaku di negara ini, malah di seluruh dunia. International Labor Organization (ILO) meramalkan 1.25 bilion pekerja di seluruh dunia akan kehilangan pekerjaan akibat masalah Covid-19.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, mana-mana negara tidak dapat mengelakkan daripada terjerumus dalam fenomena pengangguran ketika ini.

“Kita lihat banyak hotel terkemuka yang mempunyai ramai pekerja tempatan terpaksa ditutup kerana tiada kemasukan pelancong asing.

“Pelaksanaan PKP turut menjejaskan 50 peratus daripada 650,000 syarikat industri kecil dan sederhana yang mempunyai ketahanan kewangan kurang da­ripada dua bulan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Shamsuddin menegaskan, kadar pengangguran di negara ini dijangka terus meningkat kepada dua angka menjelang akhir tahun ini jika langkah menanganinya tidak diambil segera.

Katanya, kadar pengganguran akan bertambah sekiranya skim subsidi gaji di bawah program Prihatin dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) tidak disambung pada September ini.

“Kadar pengangguran semasa akan diburukkan lagi dengan kemasukan tenaga kerja baharu yang terdiri daripada graduan dan pelajar lepasan sekolah dalam pasaran kerja yang dianggarkan berjumlah 500,000 orang pada akhir tahun ini,” ujarnya.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof. Madya Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali berkata, peningkatan kadar pengangguran memang telah dijangka.

Jelasnya, ia ekoran daripada langkah Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas (bps) kepada 1.75 peratus baru-baru ini.

“Langkah pengurangan OPR merupakan satu langkah tepat oleh BNM bagi menangani inflasi atau peningkatan harga barang dan perkhidmatan dalam negara.

“Malangnya, pengurangan OPR ini akan memberi kesan buruk kepada penggunaan tenaga kerja. Jadi, tidak hairanlah ramai meramalkan kadar pengangguran akan terus meningkat,” ­jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI