fbpx
Beberapa petugas MBSA mengecat semula mural potret beberapa pemimpin negara yang diconteng di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12, Shah Alam hari ini.

[VIDEO] Mural potret gergasi pemimpin negara diconteng 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Lukisan mural potret gergasi yang memaparkan empat pemimpin negara dikesan telah diconteng pihak tertentu dengan perkataan tidak senonoh di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12 di sini pagi tadi. 

Keempat-empat potret itu ialah Yang di-Pertuan Agong,  Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. 

Kejadian tersebut disedari oleh pekerja sebuah restoran berdekatan selepas melalui kawasan mural tersebut kira-kira pukul 8 pagi. 

Seorang pelukis mural tersebut, Muhamad Firdaus Nordin, 26, mengakui terkejut dengan insiden tersebut yang dilihat tidak menghargai karya mereka. 

Katanya, mereka melukis dan menghasilkan mural tersebut untuk menghargai pemimpin negara dan bukannya berkaitan politik. 

“Ini perbuatan keji dan dengki. Saya serta rakan-rakan yang melukis potret itu berasa amat terkilan terhadap kejadian ini. 

“Berdasarkan pengamatan saya, contengan tersebut dilakukan menggunakan penyembur warna,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini. 

Muhamad Firdaus berkata, secara peribadi dia tidak menolak perbuatan tersebut dilakukan oleh pihak tertentu atas dasar politik. 

“Saya ada melihat komen-komen negatif di laman sosial Facebook selepas seorang menteri turun melawat di sini semalam,” jelasnya. 

Dalam tinjauan Kosmo! di lokasi kejadian mendapati, pekerja-pekerja Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengecat semula mural yang diconteng itu dengan cat putih. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib ketika dihubungi Kosmo! mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan lanjut akan dijalankan. – K! ONLINE

 

POPULAR