fbpx

223 kawasan terjejas sudah pulih sejak 9 pagi – Syabas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 223 kawasan atau 77 peratus kawasan di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang terlibat dengan gangguan bekalan air berjadual sejak kelmarin, pulih sepenuhnya setakat 9 pagi tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) Elina Baseri berkata, bagaimanapun 67 lagi kawasan masih dalam proses pemulihan.

“Secara keseluruhan, 77 peratus daripada kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air yang berjadual ini telah pulih sepenuhnya.

“Tiga kawasan mencatatkan peratusan pemulihan 100 peratus iaitu Kuala Lumpur, Kuala Langat dan Gombak. Manakala, wilayah Klang dan Shah Alam (62 peratus) dan Petaling (89 peratus),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, khidmat lori tangki digerakkan ke kawasan yang masih terjejas, sementara sebanyak lapan pusat khidmat setempat (PKS) dan enam pili air awam disediakan mulai hari ini hingga esok.

“Pelanggan turut dinasihatkan mematuhi panduan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan yang ditetapkan semasa mengambil bekalan air di PKS atau pili air awam, termasuk memakai pelitup separuh muka dan mengamalkan penjarakan sosial.

“Pili air awam juga akan disanitasi secara berkala untuk mengelakkan penularan bakteria dan virus bagi memastikan keselamatan pelanggan kami,”jelasnya.

Pada 6 Julai lalu, Air Selangor memaklumkan 420,000 akaun pengguna di 290 kawasan di Petaling, Klang, Gombak, Kuala Langat dan Kuala Lumpur, akan mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula 14 hingga 17 Julai ini berikutan kerja penambahbaikan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (LRA SSP3). – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI