IPOH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib disahkan meninggal dunia di Hospital Bentong, Pahang selepas diserang sakit jantung sebentar tadi.
Berita pemergian Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO tersebut disahkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak Datuk Saarani Mohamad ketika dihubungi hari ini.
Bagaimanapun, beliau sendiri tidak mempunyai maklumat lanjut mengenainya dan beliau kini sedang dalam perjalanan ke hospital berkenaan.
Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam laman sosial Facebooknya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga arwah Mohd. Khusairi bagi pihak seluruh rakyat dan anggota pentadbiran kerajaan negeri.
“Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar kepada Negeri Perak dan juga rakyat di kawasan DUN Slim serta UMNO Bahagian Tanjung Malim.
“Saya juga telah kehilangan seorang sahabat yang telah saya anggap sebagai saudara kandung sendiri. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya, dihimpunkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh serta dikurniakan sebaik-baik ganjaran syurga,” katanya. – K! ONLINE