Tertuduh Ang Kam Tong ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen hari ini.

Pemandu e-hailing bakar wanita dituduh cuba membunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang ditahan selepas dipercayai menyimbah petrol sebelum membakar wanita di sebuah premis nombor ramalan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuba membunuh.

Bagaimanapun tertuduh, Ang Kam Tong,59, yang merupakan pemandu e-hailing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa cuba membunuh Gan Siew Teen, 62, dengan cara membakar menggunakan petrol sehingga mengakibatkan kecederaan serius.

Kesalahan itu dilakukan sebuah premis nombor ramalan di Taman Pusat Kepong di sini pukul 7.51 pagi, 9 Ogos lalu. Dia didakwa mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shakila Mohd. Shariff tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius.

“Kecederaan mangsa adalah tahap tiga selain tertuduh turut melarikan diri ketika cuba ditangkap,” katanya.

Bagaimanapun peguam Lee Keng Fatt merayu supaya lelaki itu diberikan ikat jamin kerana kesalahan yang dilakukan belum lagi dibuktikan bersalah.

Hakim Surita kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Terdahulu Kosmo! melaporkan selepas sembilan hari diburu, seorang pemandu e-hailing berusia 59 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes menyimbah petrol sebelum membakar wanita di sebuah premis nombor ramalan di Kepong, pada 9 Ogos lalu akhirnya ditahan.

Hasil soal siasat awal, suspek mengaku terlibat dalam kejadian tersebut kerana tidak puas hati dengan mangsa.

Ekoran kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan melecur kira-kira 50 peratus pada tubuh dan menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Polis turut merampas beberapa barangan antaranya botol berisi cecair disyaki petrol, topi keledar, baju kemeja, sebuah motosikal Yamaha 135LC, serangkai kunci motosikal serta cukai jalan.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN