KUALA LUMPUR – Cubaan ‘mat rempit’ beraksi di Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (Duke) awal pagi tadi terbantut apabila 41 motosikal disita dan lima individu ditahan dalam Op Tutup dan Samseng Jalanan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur.
Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, sebanyak 778 motosikal diperiksa dengan 450 saman dikeluarkan dalam operasi berkenaan.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, 450 saman dikeluarkan JSPT Kuala Lumpur, manakala 45 saman lagi oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Gombak.
“JSPT Kuala Lumpur menyita 38 motosikal, manakala BSPTD Gombak menyita tiga motosikal.
“Seramai lima individu ditahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, operasi bermula kira-kira pukul 3 pagi dan membabitkan 90 pegawai serta anggota JSPT Kuala Lumpur, BSPT Gombak dan kakitangan Lebuh Raya Duke.
Katanya, Lebuh Raya Duke dikesan menjadi antara lokasi tumpuan samseng jalanan berkumpul dan menguji kehebatan jentera masing-masing selain beberapa lokasi lain di sekitar ibu negara.
“Kebanyakan motosikal yang disita membabitkan ubah suai, khususnya ekzos dan ada sebuah motosikal yang disita kerana tidak mempunyai brek belakang. Breknya diubah suai sehingga dibuang,” katanya.
Tambah beliau, Polis Diraja Malaysia menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak melakukan pengubahsuaian kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi, menunggang secara berbahaya serta terbabit dalam aktiviti lumba haram. – KOSMO! ONLINE














