PETALING JAYA – Tidak semua individu mengalami jantung berdebar memerlukan perentak jantung atau ‘pacemaker’, sebaliknya alat tersebut biasanya dipertimbangkan bagi pesakit yang mempunyai gangguan sistem elektrik jantung.
Public Health Malaysia (PHM) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, jantung mempunyai sistem elektrik semula jadi yang mengawal kadar serta rentak denyutannya.
Bagaimanapun, katanya, apabila sistem berkenaan terganggu, jantung boleh berdenyut terlalu perlahan dan tidak teratur atau gagal mengepam darah yang mencukupi ke seluruh badan.
“Dalam keadaan tertentu, pesakit mungkin memerlukan pacemaker atau perentak jantung,” menurut PHM.
PHM menambah, perentak jantung merupakan alat elektronik kecil yang lazimnya ditanam di bawah kulit pada bahagian atas dada.
“Alat itu bukan bateri yang menyebabkan jantung berdenyut sepanjang masa, sebaliknya berfungsi dengan memantau denyutan jantung dan bertindak apabila diperlukan,” katanya.
Jelas PHM, antara keadaan yang mungkin menyebabkan seseorang dipertimbangkan untuk pemasangan perentak jantung ialah denyutan jantung terlalu perlahan, sindrom sinus sakit, sekatan jantung serta gangguan denyutan selepas serangan jantung atau pembedahan.
Selain itu, PHM menambah, perentak jantung turut boleh dipertimbangkan bagi pesakit yang mengalami kesan sampingan daripada ubat yang diperlukan serta keadaan kegagalan jantung tertentu.
“Perentak jantung terdiri daripada bateri, komputer kecil dan satu atau lebih wayar halus yang disambungkan ke jantung.
“Alat tersebut akan memantau aktiviti elektrik jantung secara berterusan dan sekiranya denyutan menjadi terlalu perlahan atau isyarat elektrik gagal bergerak dengan baik, ia akan menghantar impuls elektrik kecil kepada otot jantung,” jelasnya.
PHM berkata, impuls berkenaan membantu merangsang jantung supaya berdenyut pada kadar yang sesuai.
“Jika jantung berdenyut dengan normal, pacemaker hanya memantau dan tidak menghantar impuls yang tidak diperlukan,” katanya.
Dalam pada itu, PHM menegaskan bahawa tidak semua individu yang mengalami jantung berdebar memerlukan perentak jantung.
“Penilaian biasanya dilakukan melalui beberapa pemeriksaan termasuk elektrokardiogram, pemantauan Holter, ujian darah serta pemeriksaan oleh pakar jantung,” katanya.
PHM mengingatkan orang ramai untuk mendapatkan rawatan segera sekiranya denyutan jantung perlahan disertai gejala seperti pengsan, sakit dada, sesak nafas teruk, kekeliruan atau badan menjadi sangat lemah. – KOSMO! ONLINE















