fbpx
SYELINA bergambar bersama suami dan anak-anaknya.

Denggi rampas detik berharga bersama keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“Saya beraya di atas katil hospital. Ibu juga begitu, tetapi dia dalam ICU (unit rawatan rapi). Pada hari yang sepatutnya menyatukan kami sekeluarga, kami masing-masing berjuang untuk terus hidup sambil berdoa agar diberi peluang bertemu semula.”

Itulah yang dialami oleh wanita dikenali sebagai Syelina, seorang perancang acara berusia 45 tahun.

Sempena Hari Denggi ASEAN baru-baru ini, rakyat Malaysia diingatkan bahawa denggi masih menjadi ancaman yang serius terhadap kesihatan awam.

Di sebalik setiap kes, tersimpan kisah peribadi tentang ketakutan, kehidupan yang terjejas, dan saat-saat berharga bersama keluarga yang hilang buat selama-lamanya.

Ramai yang masih menganggap denggi sebagai penyakit bermusim, sesuatu yang biasa dan sering berlaku.

Namun hakikatnya, denggi boleh menyerang sesiapa sahaja, pada bila-bila masa sepanjang tahun dan bertukar menjadi penyakit serius yang menjejaskan kehidupan dalam sekelip mata.

Difahamkan, dua kali keluarganya dilanda krisis denggi yang melibatkan tiga generasi, sekali gus memberi makna baharu kepada cara mereka menjaga dan menghargai antara satu sama lain.

“Kali pertama pada 2014, sehari sebelum Aidilfitri. Memang sudah beberapa hari saya demam, tetapi saya fikir tidak serius, cuma demam biasa,” katanya mengimbas sejarah lalu.

Anak Syelina terpaksa dirawat di PICU akibat demam denggi.

Namun apabila keadaannya semakin teruk, dia dimasukkan ke hospital dan didiagnos menghidap denggi. Pada waktu itu, dia berada di Pulau Pinang bersama keluarga suami dan jauh dari ibunya yang sudah tua di Terengganu.

Tanpa disangka, pada masa sama, ibunya juga sudah beberapa hari demam, tetapi tidak mendapatkan rawatan.

“Sebenarnya, ibu sedang bersiap-siap untuk datang melawat saya. Namun sebelum sempat bertolak, dia rebah di bilik air dan darah keluar dengan begitu banyak,” ujar Syelina.

Ibunya kemudian dikejarkan ke hospital dan didiagnos menghidap demam denggi berdarah, iaitu jenis denggi yang teruk dan boleh mengancam nyawa.

“Saya di hospital, dan ibu di ICU, tetapi di negeri lain. Namun yang paling menyedihkan, saya tidak boleh melawat dia,” sambungnya.

Pada tahun itu, Aidilfitri bukan satu perayaan, tetapi satu perjuangan untuk meneruskan hidup.

Denggi datang merampas detik-detik berharga mereka sekeluarga, menukar kegembiraan dengan ketakutan dan perpisahan.

“Saya beraya di atas katil hospital. Ibu juga begitu, tetapi dia dalam ICU. Pada hari yang sepatutnya menyatukan kami sekeluarga, kami masing-masing berjuang dan berdoa agar diberi peluang bertemu semula.

“Doktor memberitahu, ibunya berada dalam keadaan yang kritikal. Ketika itu, dia tidak sedarkan diri, kehilangan banyak darah dan perlukan pemindahan darah,” sambungnya.

Akhirnya, Syelina dibenarkan keluar dari hospital selepas 10 hari, lebih awal daripada yang dirancang, supaya dia boleh segera balik ke Terengganu untuk berada di sisi ibunya.

Selepas tiga minggu dirawat di hospital, termasuk rawatan di ICU, ibunya beransur pulih. Lebih sedekad kemudian, pada 2025, denggi menyerang keluarganya semula.

Kali ini, Syelina yang sakit dahulu, diikuti oleh anak perempuannya yang ketika itu baru berusia lapan tahun.

“Pada mulanya, demam biasa saja. Tetapi menjelang hari keempat, anak saya jadi sangat lemah. Kiraan plateletnya semakin rendah,” ujarnya.

Keadaan anak perempuannya merosot dengan cepat sehingga mengalami denggi teruk disertai kebocoran plasma.

Apabila kiraan plateletnya menjunam ke angka satu digit, dia berisiko tinggi mengalami pendarahan dan terpaksa dimasukkan ke unit rawatan rapi pediatrik (PICU) untuk pemantauan rapi.

Walaupun Syelina sendiri bertarung dengan denggi, tetapi dia membuat keputusan yang sukar untuk keluar awal supaya boleh dimasukkan ke hospital yang sama dengan anaknya.

Walaupun kini sudah sembuh sepenuhnya, namun kesannya masih terasa.

“Sekarang setiap kali nampak nyamuk, saya berasa cemas. Malah seluruh keluarga saya juga lebih berhati-hati. Kami mengelak keluar ketika hari hujan kerana bimbang perkara sama akan berulang,” ujarnya.

Menurut Perunding Pediatrik dan Pakar Penjagaan Rapi Pediatrik, Dr. Anis Siham Zainal Abidin, ramai yang masih memandang ringan denggi kerana pada peringkat awal, ia biasanya bermula dengan gejala menyerupai demam virus biasa.

“Hakikatnya, denggi boleh menjadi teruk dengan sangat pantas, dan tiada rawatan khusus untuk menyembuhkannya. Dalam masa 24 jam, keadaan pesakit boleh merosot sehingga menjadi kritikal,” jelasnya.

Beliau menegaskan, ada beberapa tanda amaran yang tidak boleh diabaikan iaitu demam panas yang berlarutan (39 – 40 darjah Celsius), sakit perut, lesu dan muntah.

Denggi teruk biasanya muncul selepas demam reda, dan boleh menyebabkan komplikasi yang mengancam nyawa termasuk kebocoran plasma, pendarahan dan kegagalan organ.

“Apabila salur darah bocor, cecair boleh terkumpul di paru-paru dan abdomen hingga menyebabkan pesakit sukar bernafas. Pada masa sama, paras platelet menurun hingga meningkatkan risiko pendarahan. Gabungan semua perkara ini boleh mempercepatkan kegagalan organ untuk berfungsi,” katanya.

Dr. Anis menambah, bagi Syelina, ia mengesahkan fakta yang sangat penting iaitu denggi tidak memilih mangsa.

“Ia boleh menyerang semua peringkat umur, dari kanak-kanak kecil hingga warga tua, dan jangkitan boleh berlaku lebih daripada sekali kerana terdapat empat jenis strain virus denggi yang berbeza.

“Bahkan, jangkitan kedua dengan strain yang berbeza boleh membawa risiko lebih tinggi untuk mendapat denggi yang teruk,” katanya.

Setakat ini, tiada penawar untuk denggi, maka pencegahan kekal sebagai langkah pertahanan yang paling berkesan.

Jadi, Dr. Anis menyeru rakyat Malaysia untuk mengambil pendekatan proaktif.

“Kesimpulannya, kita perlu mengubah cara kita berfikir. Terlalu ramai yang beranggapan ia tidak serius.

“Apabila keadaan menjadi serius, saat-saat berharga bersama keluarga mungkin hilang begitu saja,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN