KLANG – Kertas siasatan berhubung kematian Rocky dalam operasi tangkapan anjing liar di Taman Teluk Gedung Indah diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) semalam.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey yang memberitahu, setakat ini pihaknya sedang menunggu arahan lanjut daripada TPR.
“Kertas siasatan kes Rocky dirujuk kepada TPR semalam. Tunggu arahan lanjut,” katanya ringkas hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan kes kematian anjing itu disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana kesalahan khianat dengan membunuh haiwan.
Kematian haiwan itu mendapat perhatian ramai sehingga mencetuskan himpunan aman bertemakan ‘Justice for Rocky’ di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan malam kelmarin.
Insiden itu berlaku ketika operasi menangkap anjing liar oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) sebelum bertukar kecoh selepas seorang individu didakwa bertindak agresif dengan mengugut menggunakan pisau selain menghalang anggota penguat kuasa menjalankan tugas.
Datuk Bandar MBDK, Datuk Abd. Hamid Hussain bagaimanapun tampil menegaskan bahawa tiada pelanggaran prosedur operasi standard berlaku dalam operasi berkenaan.
Menurut beliau, kejadian itu berpunca daripada tindakan individu yang mendakwa pemilik anjing dan cuba mengambil semula haiwannya sehingga mengganggu kelancaran operasi.-KOSMO! ONLINE














