TINGGAL beberapa hari lagi umat Islam di seluruh dunia akan menyambut kedatangan bulan Ramadan.
Bagi Yusop Man, 60, dia sendiri berasa gembira kerana dikurniakan umur yang panjang dan masih boleh menunaikan rukun Islam ketiga itu.
“Ramadan kali ini cukup bermakna berbanding tahun lalu. Ini kerana kali ini saya boleh untuk ke masjid bagi menunaikan ibadah solat sunat tarawih.
“Setiap tahun ibadah tarawih ini saya laksanakan di surau atau masjid berdekatan rumah bersama jemaah lain. Tahun lalu sedikit janggal apabila ibadah ini hanya dilakukan di rumah kerana pandemik Covid-19,” katanya.
Yusop menegaskan, dia gembira apabila kerajaan membenarkan ibadah tersebut dilaksanakan di masjid pada tahun ini.
Dia juga berharap jemaah lain mengambil peluang itu untuk kembali memeriahkan sambutan Ramadan dengan mengimarahkan masjid dengan menunaikan solat tarawih dan bersama mengikuti prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan pandemik tersebut.
Pandemik Covid-19 yang melanda dunia pada penghujung tahun 2019 ternyata memberi kesan yang amat besar.
Disebabkan pandemik tersebut sambutan Ramadan pada tahun lalu cukup berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Kebiasaannya surau dan masjid akan meriah dengan jemaah yang hadir bagi menunaikan solat tarawih.
Namun kerajaan terpaksa menutup masjid bagi menghalang penularan wabak berkenaan.
Bagaimanapun kebenaran untuk solat tarawih itu dibenarkan berdasarkan SOP yang ditetapkan.
Dalam pada itu, Pakar Mikrobiologi Klinikal, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof. Madya Dr. Nurul Azmawati Mohamed menjelaskan, pihak masjid dan juga jemaah mempunyai peranan dalam memastikan tidak berlaku penularan pandemik Covid-19 ketika mengimarahkan masjid dengan menunaikan solat tarawih.
Menurutnya, virus SARS-CoV-2 atau lebih dikenali sebagai Covid-19 tersebar melalui titisan pernafasan semasa seseorang yang dijangkiti bercakap, bersin dan batuk.
“Titisan pernafasan yang mengandungi virus mencemari udara dan juga jatuh di atas permukaan. Individu yang menyedut udara tercemar atau menyentuh permukaan tercemar berisiko mendapat jangkitan.
“Menurut laporan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), virus SARS-CoV-2 juga boleh disebarkan melalui udara atau aerosol dalam keadaan tertentu seperti tempat bertutup, kontak berpanjangan dan ventilasi yang tidak mencukupi,” katanya.

Tambahnya, keadaan ini boleh menyebabkan kepekatan jumlah virus yang tinggi dalam udara dan memudahkan penyebaran virus.
Sementara itu, penyebaran lebih mudah berlaku dalam bangunan yang bersifat tertutup seperti di masjid, pejabat dan kilang berbanding di luar.
Kadar penyebaran penyakit di kawasan terbuka seperti taman rekreasi, padang dan pantai lebih rendah.
“Sekiranya bangunan tersebut dalam keadaan bertutup dan menggunakan pendingin hawa, penyebaran virus dalam keadaan ini lebih tinggi berbanding bangunan terbuka serta menggunakan sumber pengudaraan semula jadi dengan membuka pintu dan tingkap.
“Tempat tertutup dan berhawa dingin menghalang udara segar masuk ke dalam. Oleh itu, individu yang berada di dalam kawasan itu menghidu dan menghembus udara sama dengan individu lain. Udara disedut oleh penghawa dingin dan dikitar semula untuk digunakan. Kipas pada pendingin hawa menyebabkan udara tercemar berupaya untuk bergerak lebih daripada satu meter,” jelas Azmawati
Tambahnya, walaupun pendingin hawa mempunyai penapis habuk, saiz virus yang kecil boleh melepasinya.
Virus influenza dan SARS telah dibuktikan boleh tersebar melalui sistem pendingin hawa.
Ini berbeza dengan tempat terbuka ataupun bangunan yang membuka pintu dan tingkap yang mana udara bebas bergerak dari dalam ke luar dan sebaliknya.
Pertukaran udara berterusan serta angin menyebabkan virus atau titisan pernafasan tercemar berterbangan ke pelbagai arah dan sukar menjangkitkan individu lain.
Ini adalah kerana, kepekatan jumlah virus adalah rendah dalam udara disebabkan kitaran semula udara segar.
Dalam pada itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Sains Islam Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd. Dzulkhairi Mohd. Rani menjelaskan, pihak masjid perlu memastikan mempunyai sistem pengudaraan yang mencukupi bagi menghalang penyebaran virus tersebut.
Menurutnya, pada waktu siang terutamanya, buka pintu dan tingkap masjid seluas-luasnya.
“Ini bukan sahaja untuk pengudaraan yang baik, malah sinaran matahari yang masuk ke dalam bangunan juga mampu membunuh kuman.
“Penggunaan kipas boleh membantu mendapatkan ventilasi yang baik. Pastikan kipas tidak diletakkan di tempat yang menyebabkan udara tercemar bergerak ke arah jemaah. Kipas boleh diletakkan berhampiran tingkap untuk membantu mengeluarkan udara dari dalam ke luar. Pada masa sama, udara segar boleh masuk melalui tingkap,” jelasnya.
Tambahnya, alat pendingin hawa perlu kerap diselenggara untuk memastikan ia beroperasi dengan baik.
Penapis udara yang ada pada alat-alat pendingin hawa ini perlu dibersihkan secara kerap dan berkala.

Sistem yang tidak diselenggara boleh menyebabkan kuman serta kulat membiak dalam pendingin hawa dan boleh menyebabkan jangkitan, selain kerengsaan pada sistem pernafasan berpunca daripada hama dan habuk.
Penggunaan alat penapis udara jenis HEPA yang boleh menapis hampir 100 peratus molekul bersaiz 0.3 mikrometer juga digalakkan bagi tujuan pencegahan.
Ia boleh menapis titisan pernafasan berukuran kurang 5 mikrometer dan mengurangkan risiko penyebaran kuman.
Sementara itu, jemaah juga perlu memainkan peranan bagi menghalang penularan pandemik Covid-19 ketika berada di masjid.
Dr. Mohd. Dzulkhairi menjelaskan, jemaah masjid harus mengikut SOP yang menghendaki mereka mengimbas kod QR MySejahtera, menggunakan cecair pembasmi kuman, membawa sejadah sendiri, melakukan penjarakan fizikal sepanjang masa semasa berada di masjid serta digalakkan mengambil wuduk di rumah.
“Sebaik selesai beribadah, jemaah disarankan agar terus meninggalkan masjid dalam keadaan tenang dan teratur sementara mengekalkan jarak fizikal antara satu sama lain.
“Mereka juga harus menggunakan pelitup muka sepanjang masa ketika berada di masjid atau surau bagi mengurangkan risiko jangkitan,” tegasnya.
Tambahnya, kajian juga menunjukkan bahawa berkumur dengan cecair kumur antiseptik boleh membunuh virus dalam tekak.
Justeru, jemaah digalakkan berkumur dengan cecair kumur antiseptik setelah pulang dari masjid.
Semasa berwuduk, amalkan berkumur dengan betul dengan cara mendongakkan kepala 45 darjah supaya air sampai ke bahagian tekak.
Kemudian diikuti dengan meratakan air di dalam rongga mulut.
Memasukkan air ke dalam rongga hidung juga telah dibuktikan dapat mengurangkan risiko jangkitan saluran pernafasan.
“Jemaah digalakkan membawa cecair pembasmi kuman sendiri supaya mudah untuk membersihkan tangan. Ini juga untuk memastikan anda menggunakan cecair berkualiti, selamat dan sesuai dengan kulit anda.
“Sejadah juga perlu dibawa dari rumah. Bawa sejadah yang mudah dibersihkan dengan cecair antiseptik. Bahagian bawah sejadah yang bersentuhan dengan lantai mungkin tercemar tanpa sedar,” ulasnya.
Tambahnya, jika masjid ada kawasan beranda atau kawasan tidak berdinding, pilih kawasan itu untuk solat.
Elakkan bersalaman dan bersembang dengan jemaah lain. Kurangkan masa berada di masjid, terus pulang setelah selesai solat.














