PETALING JAYA – Penubuhan Anjung Kasih Hospital Bintulu akan memperluaskan lagi kemudahan penginapan sementara secara percuma kepada waris pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sejak diperkenalkan pada 2006 hingga Jun lalu, seramai 132,535 waris pesakit telah menerima manfaat daripada kemudahan Anjung Kasih di seluruh negara.
“Saya ingin mengajak lebih ramai syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat swasta, yayasan korporat dan organisasi yang berkeupayaan untuk bersama-sama Yayasan Kebajikan Negara memperluaskan inisiatif kebajikan seperti Anjung Kasih.
“Saya percaya, semakin ramai yang berganding bahu, semakin ramai yang memerlukan dapat dibantu, selaras dengan semangat Whole of Society yang menekankan tanggungjawab bersama demi kesejahteraan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anjung Kasih Hospital Bintulu menyediakan 25 bilik penginapan, termasuk sebuah bilik mesra orang kurang upaya, dengan kapasiti sehingga 75 penghuni pada satu-satu masa bagi meringankan beban waris pesakit dan keluarga yang menemani ahli keluarga mendapatkan rawatan. – KOSMO! ONLINE
















