PAGI di Selangor Fruit Valley (SFV), Bestari Jaya, Selangor bermula dengan pengalaman menaiki trem yang membawa pengunjung meneroka kawasan ladang buah-buahan tropika seluas 646 hektar.
Sepanjang perjalanan, pengunjung berpeluang melihat pelbagai tanaman buah tempatan sebelum mengenali salah satu tarikan unik di lokasi berkenaan iaitu nangchem, buah kacukan antara nangka dan cempedak yang masih jarang ditemui.
Keistimewaan buah berkenaan bukan sahaja terletak pada ciri fizikal dan rasanya yang menggabungkan keunikan dua buah tropika popular itu, malah memberi peluang kepada pengunjung mengenali kepelbagaian hasil pertanian tempatan secara lebih dekat.
Menerusi konsep agropelancongan yang diketengahkan, SFV menawarkan pengalaman berbeza kepada pengunjung untuk memahami proses penanaman buah-buahan, menikmati suasana ladang serta meneroka khazanah tanaman tempatan yang mungkin tidak diketahui ramai.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Datuk Dr. Mohamad Khairil Mohamad Razi, keunikan nangchem di SFV bukan sekadar terletak pada buah itu sendiri, sebaliknya pengalaman yang ditawarkan kepada pengunjung untuk melihat dan mengenali tanaman tersebut secara dekat menerusi konsep agropelancongan.

“Nangchem ini merupakan antara hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dijalankan oleh pihak kami. Melalui proses kajian dan pembangunan, tanaman ini diketengahkan sebagai salah satu tarikan unik di SFV.
“Pengunjung bukan sahaja dapat melihat pokok nangchem secara dekat, malah berpeluang mengenali keunikan buah hibrid ini serta memahami proses pembangunan tanaman berkenaan dalam suasana ladang sebenar,” katanya pada sidang media Fam Trip @SFV, baru-baru ini.
Selain nangchem, SFV turut menghimpunkan pelbagai tanaman buah-buahan tropika seperti durian, rambutan, pulasan, mangga, belimbing, jambu batu, cempedak, nangka, kelapa pandan, pisang dan manggis yang boleh dilihat sepanjang lawatan menaiki trem.
Pengunjung juga berpeluang mengunjungi taman herba yang menempatkan kira-kira 150 spesies herba dan rempah-ratus, selain melihat ladang kelulut serta tanaman orkid yang menjadi antara tarikan di kawasan berkenaan.

Bagi mereka yang merupakan pencinta haiwan, SFV turut menyediakan mini zoo yang menempatkan pelbagai haiwan jinak seperti rusa, arnab, kambing, itik, angsa, ayam belanda dan tikus belanda.
Pengunjung, khususnya kanak-kanak, bukan sahaja dapat melihat haiwan-haiwan tersebut dari dekat, malah berpeluang berinteraksi dengan sebahagiannya.
Pengalaman di SFV turut dilengkapkan dengan pelbagai aktiviti interaktif seperti memetik buah mengikut musim, menghasilkan telur masin, menangkap ikan dan aktiviti berbasikal.
Selain itu, pengunjung juga boleh menikmati madu kelulut serta berehat di rumah tradisional Selangor yang terdapat di kawasan agropelancongan tersebut.
Mohamad Khairil berkata, antara tarikan baharu yang bakal diperkenalkan ialah Kafe Vanila yang dijangka mula beroperasi pada Oktober ini, selain pembangunan glamping dan Taman Buah Nadir.
“Antara tarikan baharu yang bakal diperkenalkan ialah Kafe Vanila yang menawarkan pengalaman menjamu selera di dalam rumah hijau tanaman vanila dengan pelbagai menu berasaskan vanila.
“Kami juga sedang membangunkan kemudahan glamping bagi membolehkan pengunjung menikmati pengalaman bermalam di tengah-tengah suasana ladang yang tenang.
“Selain itu, Taman Buah Nadir akan diwujudkan bagi memelihara pelbagai spesies buah tempatan yang semakin sukar ditemui sekali gus menjadi medium pendidikan kepada pengunjung,” katanya.














