KUALA LUMPUR – Wakaf Wilayah Persekutuan memperkenalkan program Safar Tour sebagai inisiatif baharu yang membawa pewakaf dan rakan strategik korporat meninjau sendiri projek-projek wakaf yang sedang dibangunkan di sekitar Wilayah Persekutuan.
Program itu disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan. Turut hadir Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, Setiausaha merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Is. Mohd. Nizam Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman.
Program yang akan diadakan dalam dua siri itu diperkenalkan sebagai platform untuk meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pengurusan wakaf melalui pendedahan secara langsung kepada projek-projek yang sedang dirancang.
Siri pertama Safar Tour hari ini telah disertai seramai 35 peserta terdiri daripada individu dan wakil organisasi korporat yang dibawa melawat tiga projek utama wakaf di sekitar ibu negara.
Antara projek yang dilawati ialah pembangunan Kompleks Kecemerlangan Pendidikan Islam MAIWP yang bakal menjadi hab pembangunan modal insan berteraskan konsep Smart Campus.
Peserta turut dibawa meninjau projek menaik taraf Pusat Fisioterapi MAIWP di Masjid Abu Ubaidah Al-Jarrah, Taman Sri Rampai yang menyediakan rawatan kepada golongan asnaf dan komuniti.
Melalui projek itu, pusat fisioterapi berkenaan akan dinaik taraf daripada tiga kepada tujuh bilik rawatan sekali gus meningkatkan kapasiti rawatan daripada 200 kepada 300 sesi sebulan selain dilengkapi pelbagai peralatan rehabilitasi moden.
Lawatan turut merangkumi pembangunan semula Masjid Al-Mubarakah, Taman Bukit Cheras yang bakal menyediakan ruang solat lebih luas serta mampu menampung sehingga 1,000 jemaah pada satu-satu masa.
Selain dewan solat, projek pembangunan semula masjid itu turut menyediakan kemudahan seperti blok Tadika Islam MAIWP, dewan serbaguna, bilik seminar dan perpustakaan, pejabat serta bilik mesyuarat, kedai wakaf, blok kuarters imam dan bilal serta kemudahan mesra warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
Siri pertama Safar Tour turut menyaksikan simbolik penyerahan wakaf tunai daripada syarikat korporat dan individu dengan nilai keseluruhan RM461,000.
Sejak diberi mandat mengurus kutipan wakaf tunai pada Disember 2022, sebanyak 15 projek wakaf berjaya mencapai sasaran kutipan bernilai RM29.44 juta dengan sebahagiannya telah siap dibangunkan dan kini dimanfaatkan masyarakat.
Bagi tahun 2025 sahaja, Wakaf Wilayah Persekutuan berjaya mengutip RM8.9 juta daripada 14,218 pewakaf, namun sehingga kini masih terdapat 34 projek wakaf yang memerlukan dana dianggarkan RM410 juta bagi merealisasikan pembangunan yang dirancang. – KOSMO! ONLINE














