DUNGUN – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat dakwaan berlakunya aktiviti menjual air ketum secara terbuka yang dikatakan berlaku di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Paka arah utara semalam.
Penjualan air ketum tersebut dikatakan menyasarkan peserta RXZ Members 8.0 yang berhenti berehat di R&R tersebut sebelum bergerak ke tapak program di Litar Permotoran Terengganu, Kuala Nerus.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Nik Ab. Halim Nik Mat berkata, sepasukan polis bergegas ke lokasi berkenaan sebaik menerima maklumat menerusi dua video yang tular di media sosial.
“Begitupun, kami tidak menjumpai aktiviti jualan air ketum di R&R Paka berkenaan seperti didakwa. Apa pun, kita memandang serius kegiatan menjual air ketum atau apa-apa barang terlarang,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu tular klip video memaparkan aktiviti penjualan air mencurigakan berwarna hijau lumut yang berharga RM20 sebotol di R&R Paka.
Nik Ab. Halim berkata, siasatan lanjut sedang dilakukan bagi memastikan kebenaran dakwaan tersebut.
Beliau memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti penjualan air ketum tersebut agar menyalurkan maklumat kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun atau di balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE














