fbpx
Seramai 859,760 pengundi akan menjalankan tanggungjawab sempena PRN Negeri Sembilan hari ini.

Pengundi atas pagar penentu PRN N. Sembilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HARI ini, kira-kira 859,760 pengundi biasa di Negeri Sembilan akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat di kawasan masing-masing dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

PRN ke-16 itu menyaksikan 103 calon yang mewakili pelbagai parti politik bertanding merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pada PRN kali ini, sebanyak 11 kerusi menyaksikan satu lawan satu, 21 kerusi (tiga penjuru), manakala dua kerusi (empat penjuru) dan dua kerusi (lima penjuru).

Bagi komposisi calon mengikut parti pula, Pakatan Harapan bertanding di kesemua 36 kerusi, Barisan Nasional (BN) (25 kerusi), Perikatan Nasional (PN) (11 kerusi), Bersatu (24 kerusi), ASLI, BERJASA dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) (satu kerusi).

Menariknya pada PRN kali ini, BN membuat kejutan apabila memilih untuk mengadakan persefahaman dengan PN bagi menggelak pertembungan sesama sendiri di semua kerusi.

Sebelum ini ketika PRN ke-15 pada 2023, gabungan PH-BN berjaya meraih kemenangan besar dengan jumlah 31 kerusi, sekali gus membentuk Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan.

Dinamika baharu ini menyebabkan para pemerhati politik tanah air sukar menebak keputusan yang bakal diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada malam nanti.

Rata-rata mereka merasakan saingan perebutan kerusi di PRN Negeri Sembilan dijangka berlangsung sengit memandangkan semua parti atau gabungan yang bertanding mempunyai kelebihan masing-masing.

Ada yang meramalkan persefahaman antara BN-PN akan meraih kejayaan besar, namun tidak kurang juga pemerhati politik melihat PH mampu terus menjadi kerajaan di negeri berkenaan.

Pada pendapat penulis, apapun keputusannya, faktor pengundi muda dan atas pagar memainkan peranan cukup besar dalam PRN Negeri Sembilan kali ini.

Hal ini kerana, kedua-dua golongan tersebut membuat pilihan berdasarkan maklumat dan isu yang dibangkitkan oleh setiap calon dalam media arus perdana atau media sosial.

Selain itu, golongan berkenaan juga gemar membuat pilihan pada saat akhir mengikut sentimen atau pengaruh di persekitaran mereka.

Misalnya, ada rakan penulis yang mengundi buat pertama kali di PRN Johor baru-baru ini memberitahu, dia membuat pilihan berdasarkan saranan oleh ahli keluarga terdekat.

Justeru itu, parti atau gabungan yang berjaya memenangi hati kedua-dua golongan tersebut pastinya akan keluar sebagai pemenang pada malam ini.

Hakikatnya, siapa pun yang akan memerintah Negeri Sembilan nanti, masyarakat tempatan harus meraih labanya, di mana setiap janji dalam manifesto harus ditunaikan.

Penulis juga berharap, segala permasalahan yang berbangkit di Negeri Sembilan dapat diselesaikan secepat mungkin oleh kerajaan baharu bagi memastikan kelancaran urusan pentadbiran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN