fbpx
Lokasi melombong bijih besi yang diserbu PGA selepas didapati melangkaui kawasan di bawah syarat lesen perlombongan di Mukim Kuala Nal, Batu Mengkebang dekat Kuala Krai semalam. FOTO IHSAN PGA

Enam dicekup, lombong bijih besi luar kawasan lesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA KRAI – Enam lelaki termasuk lima pemandu kenderaan berat dicekup selepas dipercayai menjalankan kegiatan melombong sebanyak 360 tan bijih besi bernilai RM180,000 melangkaui kawasan yang diluluskan di bawah syarat lesen perlombongan di Mukim Kuala Nal, Batu Mengkebang di sini semalam.

Keenam-enam suspek berusia 31 hingga 63 tahun itu ditahan kira-kira pukul 1 tengah hari ketika Pasukan Gerakan Am (PGA) menjalankan serbuan menerusi Op Bersepadu Khazanah di kawasan tersebut.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, sepasukan anggota Risik Batalion 8 PGA mendapati sebuah jengkaut dan empat buah treler jenis Volvo sedang melakukan kerja-kerja memindah bijih besi di kawasan itu.

Katanya, seorang lelaki berusia 63 tahun yang mengaku sebagai penjaga kawasan tersebut telah menyerahkan Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (Seksyen 10, Akta Pembagunan Mineral 1994), Jabatan Mineral dan Geosains Kelantan.

“Semakan menerusi Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Kelantan mendapati, permit bagi menjalankan kegiatan perlombongan bijih besi itu sah sehingga 13 November 2026.

“Hasil pemeriksaan, syarikat itu didapati memperluaskan aktiviti perlombongan sehingga melangkaui kawasan yang diluluskan di bawah syarat lesen perlombongan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Radzi memberitahu, lesen melombong bijih besi yang dibenarkan adalah seluas 2.538 hektar dan pegawai Pejabat Tanah dan Galian Kelantan mengesahkan bahawa syarikat tersebut telah melakukan kegiatan itu di luar kawasan berlesen.

Katanya, syarikat itu dipercayai menggunakan tanah lot sewa seluas 3.172 hektar berhampiran kawasan tersebut yang tidak dibenarkan untuk aktiviti perlombongan.

“Lot sewa itu kebiasaannya digunakan bagi tujuan berkaitan operasi seperti akses, stok simpanan, kemudahan atau mengikut pelan Skim Pengendalian Melombong.

“Keenam-enam suspek mengaku bekerja di bawah seliaan seorang lelaki berusia 61 tahun yang mengurus operasi perlombongan di kawasan berkenaan,” ujarnya.

Ahmad Radzi berkata, siasatan lanjut mendapati, bijih besi yang diperoleh daripada kegiatan perlombongan di kawasan itu akan dihantar ke sebuah syarikat di Kuantan, Pahang untuk diproses.

Menurutnya, keenam-enam suspek ditahan manakala sebuah jengkaut, empat buah treler dan 360 tan bijih besi dengan nilai keseluruhan mencecah RM2.98 juta dirampas untuk siasat lanjut mengikut Seksyen 158 Enakmen Mineral 2001. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN