KUALA LUMPUR – Tindakan seorang ‘guide’ rumah hantu sebuah taman tema yang melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelanggannya yang merupakan remaja perempuan, memakan diri apabila dia dipenjara tiga tahun.
Hakim Mahkamah Sesyen Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman terhadap Md Israful Alam, 30, selepas tertuduh yang merupakan warga Bangladesh itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang didakwa ke atasnya.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 7 Februari lalu dan menjalani sesi kaunseling dalam tempoh pemenjaraan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang merupakan remaja perempuan berusia 13 tahun (umur waktu kejadian) bagi tujuan seksual.
Kesalahan itu dilakukan di rumah hantu taman tema di sebuah pusat beli-belah di sini pukul 12.30 tengah hari pada 7 Februari lalu mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan pemenjaraan maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Shakila Mohd Shariff memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal, bersifat pencegahan serta memberi mesej yang jelas bahawa sebarang kesalahan seksual terhadap kanak-kanak tidak akan dipandang ringan serta demi kepentingan awam dan perlindungan golongan kanak-kanak.
“Akibat perbuatan tertuduh, mangsa telah mengalami trauma yang berpanjangan dan masih terkesan dengan kejadian tersebut. Mangsa juga kini berasa takut dan trauma terhadap individu warga asing. Mangsa seorang yang ceria dan sering melakukan aktiviti riadah luar bersama keluarga, namun akibat perbuatan tertuduh di rumah hantu yakni tempat riadah, mangsa menjadi takut ingin keluar lagi dan trauma untuk beriadah seperti dahulu,” katanya.
Peguam Kelvin Sidhu mewakili yang Md Israful memohon hukuman ringan kerana anak guamnya menanggung isteri dan anak berumur tujuh tahun selain mahkamah perlu mengambil kira pengakuan diperingkat awal diambil kira sebagai faktor pengurangn hukuman.
Berdasarkan fakta kes, mangsa memberitahu ibunya bahawa tertuduh melakukan perbuatan itu ketika remaja itu berjalan dalam keadaan beratur di dalam rumah hantu pada 7 Februari lalu dan mangsa berasa terkejut dengan perbuatan tertuduh.
Ibu mangsa kemudian membuat laporan polis pada hari sama dan menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian juga menunjukkan tertuduh melakukan kesalahan berkenaan ketika berada di belakang mangsa. – KOSMO! ONLINE














