JAKARTA – Sebuah majlis perkahwinan di Gowa, wilayah Sulawesi Selatan menjadi huru-hara apabila pengantin lelaki terpaksa meminta anggota bomba untuk memotong cincin kahwin yang tersangkut pada jarinya akibat tersalah pakai, lapor laman berita Detik.
Ketua Pencegahan dan Kawalan Kebakaran di Jabatan Bomba Gowa, Syamsul Bahri berkata, pasangan pengantin itu bergegas ke balai bomba selepas selesai ijab kabul.
“Cincin yang disarungkan pada jari pengantin lelaki itu sepatutnya dipakai oleh pengantin perempuan, menyebabkan ia sukar untuk ditanggalkan.
“Kami terpaksa memotong cincin berkenaan,” kata Syamsul kepada pemberita baru-baru ini.
Menurutnya, pengantin lelaki berada dalam keadaan baik. – AGENSI














