SHAH ALAM – Seramai 23 tokoh ulama antarabangsa dan tempatan akan dihimpunkan pada Festival Turath Islami Selangor (FTIS) yang berlangsung selama lapan hari bermula 13 September depan.
Antara tokohnya ialah bekas Mufti Besar Mesir, Syeikh Dr. Ali Jum’ah; Prof. Dr. Sayyid Idris al-Fasi al-Fihri (Maghribi); Ustaz Dr. Adi Hidayat dan Ustaz Wadi Annuar (Indonesia) serta Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penganjuran FTIS edisi keempat itu merupakan kesinambungan usaha kerajaan negeri memartabatkan khazanah turath Islami sebagai asas pembangunan insan, pembentukan akhlak dan pengukuhan masyarakat berilmu.
Menurut beliau, festival tahunan itu mengangkat perbincangan dan penghayatan bermula kitab Ihya’ ‘Ulumuddin, karya Al-Ghazali dan Tafsir al-Jalalain.
“FTIS kali ini yang bertemakan ‘Hikmah Warisan Islam’ akan mengetengahkan karya Al-Hikam al-Ata’iyyah oleh tokoh besar tasawuf Islam, Ibnu Atha-illah AsSakandari.
“Kitab ini menghimpunkan mutiara hikmah mengenai keikhlasan, tawakal dan hubungan seorang hamba dengan Tuhan serta menjadi antara karya tasawuf berpengaruh dalam tradisi keilmuan Islam,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.
Tambah beliau, festival itu akan menampilkan lebih 42 sesi pengajian dan program ilmiah bersama 23 tokoh ulama. – KOSMO! ONLINE














