SHAH ALAM – Tindakan segera akan diambil terhadap perkampungan haram yang dipercayai diduduki pendatang asing tanpa izin (PATI) di Kampung Budiman, Setia Alam, di sini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, arahan itu susulan keputusan pada Mesyuarat Majlis Tindakan Keselamatan (MTKN) Negeri Selangor yang diadakan minggu lalu.
Tegas beliau, mesyuarat itu menetapkan tindakan penguatkuasaan perlu dilaksanakan terhadap sebarang pencerobohan tanah.
“Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan mengambil tindakan termasuk mengeluarkan notis kepada pemilik tanah berkenaan.
“Apabila perkara ini dibangkitkan, saya sudah maklumkan kepada pihak itu dan percaya tindakan segera akan dilakukan terutama notis kepada tuan tanah,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.
Tambah beliau, tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan jika kawasan itu didapati merupakan tanah kerajaan.
“Jika ia melibatkan tanah persendirian, pemilik tanah diminta mengambil tindakan terlebih dahulu. Isu ini bukan kerana warga asing semata-mata namun tindakan terhadap sebarang bentuk pencerobohan tanah kerajaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














