NILAI – Dakwaan seorang aktivis politik kononnya anggota polis disogok dengan wang dan diarah menyerahkan nombor siri kertas undi bagi menyokong Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan adalah suatu tohmahan.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pihak polis menafikan dakwaan itu dan akan melakukan siasatan dan merujuk ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya terdapat sebarang salah laku atau kemungkinan perkara itu berlaku
“Selepas kenyataan itu dibuat oleh beliau, kita telah menjalankan pemantauan, namun sehingga kini tiada sebarang laporan polis diterima berhubung isu yang dibangkitkan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pusat mengundi awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai di sini hari ini.
Alzafny berkata demikian ketika mengulas dakwaan aktivis politik yang juga Pengerusi Penaja Parti Wawasan Negara (Wawasan) Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard.
Chegubard mendakwa anggota pasukan beruniform termasuk polis diberikan wang antara RM300 hingga RM500 mengikut pangkat, selain diugut supaya menyerahkan nombor siri kertas undi sebagai bukti mengundi PH.
Alzafny berkata, pihaknya akan memastikan proses pilihan raya berlangsung secara profesional, telus dan berintegriti.
“Jika laporan yang diterima membabitkan salah laku anggota polis seperti yang didakwa, pihak kita juga akan merujuk perkara ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM,” katanya. – KOSMO! ONLINE














