SEPANG – Ketua Pemuda Amanah Bachok Abdullah Aqili Romeli didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat hantaran yang palsu berkaitan kenaikan harga minyak dalam laman sosial Threads Mac lalu.
Bagaimanapun Abdullah Aqil, 35, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi iaitu akaun Threads “@qilieybrembo” telah secara sedar membuat dan memulakan hantaran yang palsu sifatnya dengan niat untuk mengganggu mana-mana orang pukul 12 tengah hari pada 31 Mac lalu.
Hantaran itu kemudian dilihat pada tarikh sama pukul 3 petang di Aras 8, MCMC Tower 1, Jalan IMPACT, Cyber 6, Cyberjaya di sini yang didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum di bawah seksyen 233(2) Akta yang sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau pemenjaraan tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Berikutan pengakuan tidak bersalah tertuduh, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Nur Nazhzilah Mohammad Hashim menawarkan jaminan RM10,000 selain syarat-syarat tambahan yang wajar akan dikenakan mahkamah.
Bagaimanapun Abdullah Aqili yang tidak diwakili peguam merayu agar jumlah ikat jamin itu dikurangkan dengan alasan mempunyai tanggungan.
“Saya hanya bekerja sendiri iaitu mekanik dengan pendapatan RM1,500 bergantung kepada pelanggan. Saya juga mempunyai seorang anak angkat,” katanya.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Ahmad Fuad membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah kemudian menetapkan 26 Ogos ini bagi sebutan semula kes.
Terdahulu MCMC dilaporkan menerima keputusan dari Jabatan Peguam Negara berhubung kertas siasatan kes penyebaran berita palsu terkait kenaikan harga bahan api susulan krisis di Asia Barat. – KOSMO! ONLINE













