PETALING JAYA – Semakan mendapati kesemua pelarian etnik Rohingya yang diambil tindakan selepas berkumpul di hadapan pejabat Pesuruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), semalam memiliki dokumen yang sah.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, ia susulan hasil proses dokumentasi yang dijalankan di pekarangan Dataran Wira Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini.
“Polis memindahkan seramai 113 pelarian terdiri daripada seorang lelaki Iraq, seorang wanita Somalia dan seorang wanita Indonesia yang juga isteri kepada lelaki Rohingya.
“Turut dipindahkan 36 lelaki, 21 wanita, 31 kanak-kanak lelaki dan 22 kanak-kanak perempuan etnik Rohingya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadil berkata, mereka dipindahkan ke IPK Kuala Lumpur bersama wakil pejabat UNHCR pada pukul 8.50 malam semalam.
Katanya, tindakan dokumentasi ke atas pelarian itu dijalankan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Kuala Lumpur.
“Kesemua komuniti Rohingya tersebut ditempatkan sementara di Dataran Wira IPK Kuala Lumpur. Setakat ini, pihak UNHCR sedang berusaha mengambil tindakan ke atas komuniti pelarian yang ada hari ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE













