PETALING JAYA – Perkongsian seorang pengguna Threads dari Indonesia yang mempersoalkan keputusan Formula Satu (F1) kembali berlumba di Litar Antarabangsa Sepang, Malaysia, berbanding Litar Mandalika mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen kedua-dua negara.
Menerusi hantaran pengguna @fatihalkhodhi di Threads, dia mempersoalkan faktor yang membolehkan F1 kembali ke Sepang meskipun sebelum ini status penganjuran dikaitkan dengan Bahrain, selain bertanya mengapa perlumbaan berprestij itu tidak diadakan di Mandalika.
“Selain statusnya yang pernah menggantikan Bahrain, apakah faktor yang membolehkan Formula Satu (F1) kembali ke Sepang? Mengapa perlumbaan itu tidak diadakan di Mandalika?” tulisnya.
Ruangan komen kemudian dibanjiri pelbagai pandangan, termasuk daripada pengguna yang menjelaskan Sepang pernah menjadi tuan rumah F1 selama bertahun-tahun selain memiliki fasiliti bertaraf Formula Satu.
“Sepang sememangnya memenuhi piawaian F1 dan pernah menjadi tuan rumah perlumbaan itu dalam tempoh yang lama. Sebelum ini, ia kehilangan lesen penganjuran kerana kos lesen yang terlalu tinggi selain keuntungan yang semakin merosot.
“Tambahan pula, perpindahan ke Bahrain berlaku hasil campur tangan serta kerjasama antara kerajaan Bahrain dan Malaysia,” kata ezimiles.
“Walaupun Mandalika memiliki litar bertaraf FIA Gred 1, ia masih jauh dari sudut lokasi untuk menganjurkan perlumbaan. Sepang pula lebih dekat dengan Singapura dan memudahkan urusan logistik,” komen dannyhimself_.
“Mandalika hanya memiliki pensijilan FIA Gred 3, manakala perlumbaan F1 hanya boleh diadakan di litar yang mempunyai pensijilan FIA Gred 1,” tulis ditoseregar.
Perlumbaan F1 di Litar Antarabangsa Sepang dijadual berlangsung pada 2 hingga 4 Oktober depan selepas Malaysia diumumkan sebagai tuan rumah gantian kepada Grand Prix Bahrain bagi musim 2026. – KOSMO! ONLINE














