SEREMBAN – Keprihatinan bekas Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu, Datuk Ahmad Faez Abdul Razak dalam mendengar dan membantu permasalahan rakyat terus dihargai penduduk, termasuk penerima bantuan rumah, Mohd. Azmi Din, 62.
Mohd. Azmi berkata, usaha Ahmad Faez yang sentiasa turun padang mendekati masyarakat dan mengambil berat kesulitan penduduk memberi makna besar kepada keluarganya, terutama selepas melalui tempoh sukar apabila terpaksa menumpang di rumah abang selama lima hingga enam bulan.
Menurutnya, bantuan rumah menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Tenaga Nasional Berhad (TNB) di bawah Program Baiti Jannati memberi kelegaan besar selepas sekian lama berdepan kekangan tempat tinggal.
“Gembira memang tidak dapat nak cakap, saya sangat bersyukur. Sebelum ini saya bersama keluarga terpaksa menumpang di rumah abang di Kampung Lambar.
“Bantuan yang diberikan ini sangat bermakna kepada kami. Saya ucapkan terima kasih kepada Datuk Faez kerana banyak membantu orang kampung dan sentiasa turun padang mendengar masalah penduduk,” katanya ketika ditemui di Kampung Kilang Padi di sini.
Mohd Azmi berkata, rumah berkenaan kini menjadi tempat perlindungan baharu buat yang terdiri daripada isteri dan tujuh anak berusia lingkungan 20 hingga 15 tahun.
Beliau berkata, tanpa bantuan yang disalurkan, keluarganya mungkin masih berdepan kesukaran untuk mendapatkan kediaman yang lebih selesa.
“Kalau tidak menumpang, keadaan tentu lebih sukar. Saya berharap Datuk Faez terus diberi peluang dan mandat untuk terus membantu penduduk di kawasan ini kerana beliau banyak mengambil berat masalah rakyat,” katanya.
Bantuan rumah tersebut merupakan antara usaha kebajikan yang dilaksanakan melalui kerjasama CSR TNB di bawah Program Baiti Jannati, dengan menyediakan pembinaan rumah secara percuma kepada penerima yang dikenal pasti.
Sementara itu Ahmad Faez, yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi DUN Labu, berkata agenda kebajikan rakyat antara menjadi tumpuan utama menerusi pendekatan mendekati masyarakat serta mencari penyelesaian terhadap isu yang dihadapi penduduk.
“Di DUN Labu, sebanyak dua buah rumah telah diusahakan menerusi program CSR TNB berkenaan, selain empat buah rumah lain yang dibina melalui inisiatif Perbadanan Kemajuan Negeri Negeri Sembilan.
“Usaha ini bukan sahaja memberi kediaman lebih selesa kepada penerima, malah mencerminkan komitmen berterusan kepada penduduk,” jelasnya.














