ANKARA – Kelab gergasi Turkiye, Besiktas kini sedang menanti jawapan Mohamed Salah dengan penuh debar dalam usaha pasukan itu mendapatkan khidmat kapten Mesir berkenaan.
Besiktas dilaporkan sudah mengemukakan tawaran akhir kepada wakil Salah yang sebelum itu mengambil keputusan untuk tidak melanjutkan kontraknya bersama Liverpool dan kini bergelar ejen bebas.
Selepas mengetuai Mesir di pentas Piala Dunia 2026, Salah kini sedang mempertimbangkan tawaran yang diterimanya dan difahamkan Besiktas sebagai destinasi serta pilihan paling konkrit buatnya.
Presiden Besiktas, Serdal Adali sendiri tampil mengesahkan kelab itu kini sedang menanti jawapan muktamad daripada Salah mengenai tawaran yang sudah pun dikemukakan.
“Kami memberitahu Salah dan ejennya bahawa kami menjangkakan mereka memaklumkan keputusan mereka tidak lama lagi. Sejak pertemuan pertama, kami menilai setiap permintaan yang dituntut.
“Keputusan kini terletak di pihak pemain dan kami jangkakan mereka akan beri maklum balas tidak lama lagi,” katanya.
Sepanjang sembilan tahun bersama The Reds, Salah mengharungi 442 perlawanan dan merekodkan 257 gol sekali gus melonjakkan namanya sebagai legenda.
Selain Besiktas, beberapa pasukan termasuk kelab Amerika Syarikat seperti Kansas City juga dilaporkan turut berminat untuk mendapatkan Salah. – AGENSI














