fbpx
Tangkap layar keadaan penempatan dipercayai didiami PATI di Kampung Budiman, Setia Alam.

Kampung PATI Kampung Budiman dalam radar Imigresen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – Perkampungan haram dipercayai diduduki pendatang asing tanpa izin (PATI) di Kampung Budiman, Setia Alam dekat sini yang tular di media sosial, kini dalam radar Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengesahkan dakwaan berhubung kewujudan penempatan haram tersebut sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan diambil.

Menurut beliau, JIM tidak akan bertindak melulu hanya kerana sesuatu isu menjadi tular di media sosial, sebaliknya setiap maklumat perlu disahkan terlebih dahulu melalui siasatan.

“Kita akan terus buat siasatan. Memang banyak perkara yang saya lihat setiap hari di media sosial. Tetapi kita tidak boleh hanya berdasarkan maklumat yang tular itu terus mengambil tindakan.

“Kita perlu buat siasatan dan kita kena pastikan apa yang tular itu adalah betul ataupun tidak dan sebagainya.

“Selapas itu, baru kita boleh ambil tindakan dan perkampungan itu dalam siasatan kita juga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau Operasi Penguatkuasaan Bersepadu di Taman Perindustrian, Kapar Bestari di sini hari ini.

Menurut Zakaria, sekiranya siasatan mendapati dakwaan tersebut berasas, JIM tidak menolak kemungkinan melaksanakan operasi bersepadu bersama pihak berkuasa tempatan (PBT), Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) serta agensi penguat kuasa berkaitan.

Katanya, tindakan yang akan diambil bergantung kepada bidang kuasa setiap agensi kerana kesalahan membina penempatan haram bukan terletak di bawah bidang kuasa imigresen semata-mata.

“Bidang kuasa kita kena lihat juga.
Contohnya kesalahannya mendirikan rumah atau penempatan itu, di luar bidang kuasa imigresen

“Kita mungkin akan buat operasi secara bersepadu bersama agensi-agensi lain seperti PBT, PTD. Semua itu, kita akan ambil kira,” jelasnya.

Sebelum ini, tular video di aplikasi Thread memaparkan perkampungan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang berkembang membiak tanpa gangguan JIM di Kampung Budiman, Setia Alam.

Media turut melaporkan lokasi tersebut pernah diserbu dan dikenakan tindakan penguatkuasaan sebelum ini. Bagaimanapun, warga asing dipercayai kembali membuka penempatan baharu berhampiran lokasi asal. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN