PENAMPILAN terakhir pada temasya Sukan Komanwel di Glasgow tahun ini mahu dimanfaatkan sebaiknya jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang bagi meraih pingat emas pertama Komanwel bagi dirinya.
Walaupun usia sudah menjangkau 38 tahun, namun atlet kelahiran Dungun, Terengganu itu enggan menjadikan ia sebagai alasan untuk dia mengibar bendera putih terlalu awal tanpa memberikan saingan.
Bekas juara dunia itu akan menggalas cabaran negara dalam acara keirin yang dijadualkan berlangsung Jumaat ini dan Azizulhasni akan meneruskan saingan pada awal pagi Sabtu jika melangkah ke pentas final.
Memandangkan aksi di Glasgow merupakan penampilan terakhirnya di Sukan Komanwel, maka pelumba yang diberi julukan The Pocket Rocketman itu sedia untuk memberikan segala-galanya sebaik melangkah masuk ke velodrom.
“Apa sahaja keputusan pada Komanwel kali ini, saya akan sentiasa bangga dengan diri sendiri. Dari seorang budak kampung yang ada impian besar sehingga berpeluang mewakili negara di salah satu pentas terbesar dunia.
“Ini akan menjadi penampilan terakhir saya di Sukan Komanwel. Saya sudah melakukan segala-galanya untuk persiapan dan kini hanya menyerahkan selebihnya kepada qada dan qadar Allah, apa yang sudah ditetapkan-Nya adalah yang terbaik.
“Alhamdulillah atas perjalanan ini dan apa sahaja berlaku nanti, saya akan turun ke trek dengan rasa penuh syukur dan sedia untuk memberikan segala yang saya ada,” katanya.
Sebagai rekod, Azizulhasni masih belum menuai pingat emas sepanjang beraksi di Komanwel dengan pencapaian terbaiknya adalah meraih dua pingat gangsa pada edisi New Delhi 2010 serta Glasgow 2014, masing-masing dalam acara pecut berpasukan dan keirin.
Menjelang saingan kali ini, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu dijangka berdepan aksi sukar apabila perlu bersaing dengan pelumba-pelumba terbaik, termasuk juara dunia 2022 dari England, Matthew Richardson.














