PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat melibatkan beberapa kawasan di Semenanjung, Sarawak dan Sabah hingga pukul 4 petang ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, di Semenanjung, kawasan yang dijangka terlibat adalah Perlis, Kedah (Sik dan Baling) dan Perak (Larut, Matang Dan Selama, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Bagan Datuk dan Hilir Perak).
“Hujan lebat turut diramal berlaku di Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Raub dan Rompin), Selangor (Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor) dan Johor,” katanya.
Di Sarawak, cuaca buruk dijangka turut melanda Limbang, manakala Sabah melibatkan kawasan Tawau (Lahad Datu) dan Sandakan (Kinabatangan dan Sandakan).
MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Jelasnya, amaran tersebut adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE













