PETALING JAYA – Seramai 12 pegawai dan anggota polis pelbagai pangkat ditahan selepas disyaki memeras ugut seorang lelaki warga China sebanyak RM2 juta.
Menurut sumber, mangsa bagaimanapun hanya sempat membayar RM560,000 sebelum mengambil keputusan membuat laporan polis.
“Polis turut menemui semula sebahagian daripada wang yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes itu,” katanya.
Menurutnya, mangsa kemudian tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
Difahamkan, seramai 12 orang pegawai dan anggota polis ditahan yang mana ada di antaranya berpangkat Deputi Superintendan, Asisten Superintendan dan lain-lain pangkat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut. – KOSMO! ONLINE














