PETALING JAYA – Keadaan jalan raya yang lengang pada awal pagi mendorong seorang pemandu daripada bertindak memandu melawan arus di lebuh raya, sekali gus mengundang kebimbangan pengguna jalan raya.
Menerusi hantaran di laman Threads oleh @Raasuzuran, kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu menyaksikan sebuah kereta dipandu melawan arus sebelum suaminya membunyikan hon beberapa kali sebagai amaran.
“Tak sangka dapat menyaksikan perkara ini pada pukul 3 pagi. Dia terus memandu macam itu sahaja. Selepas suami saya membunyikan hon beberapa kali dan mengikutinya, barulah dia berpatah balik,” katanya.
Menjawab pertanyaan pengguna lain, wanita itu memaklumkan kejadian tersebut berlaku di Lebuh Raya Damansara-Puchong menghala ke Seri Kembangan.
Hantaran tersebut menerima pelbagai reaksi daripada netizen yang mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan berbahaya seperti memandu melawan arus walaupun jalan raya ketika itu lengang.
@Zamri3463, menyifatkan tindakan tersebut mampu membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain dan berisiko meyebabkan kemalangan jalan raya.
“Membahayakan nyawa orang lain. Bagaimana jika bertembung dengan motosikal? Apa akan jadi? Memang orang macam ini dikenakan tindakan,” katanya.
Di ruangan komen, seorang pengguna, @Rospurple, berpendapat pemandu berkenaan mungkin tersalah jalan dan memilih untuk meneruskan perjalanan sehingga menemui lokasi yang sesuai untuk membuat pusingan U.
“Agaknya dia tersesat jalan. Nak patah balik tak berani, jadi teruskan sahaja sehingga jumpa penghujung jalan untuk buat pusingan U,” katanya. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














