PETALING JAYA – Peminat sukan permotoran di negara ini mula ‘kecoh’ apabila Malaysia telah terpilih sebagai tuan rumah perlumbaan Formula Satu (F1) pada Oktober ini.
Khabar gembira itu kini mula tular di media sosial apabila rata-rata peminat berkongsi laporan yang dikeluarkan agensi berita antarabangsa iaitu BBC.
“BBC sport dah jawab. F1 race (perlumbaan) dekat Sepang Malaysia tapi digantikan nama Bahrain GP (Grand Prix),” kata Zyzyagera23 di aplikasi Threads.
Namun, berdasarkan laporan agensi itu, perlumbaan di Sepang itu hanyalah venue untuk menggantikan GP Bahrain yang dibatalkan susulan konflik bersenjata di Asia Barat.
Jelas agensi itu, perlumbaan tersebut akan diadakan pada 2 hingga 4 Oktober seminggu sebelum GP Singapura.
“Bagaimanapun, perlumbaan itu akan tetap dikenali sebagai GP Bahrain meskipun diadakan di Malaysia,”kata laporan BBC.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada satu majlis di Pulau Pinang hari ini berkata, perkembangan berkaitan kemungkinan Malaysia kembali menganjurkan perlumbaan F1 akan diumumkan esok.-KOSMO! ONLINE














