BANGKOK – Kerajaan giat menggerakkan pelan khas bagi meningkatkan pengambilan dan pengedaran kira-kira 300,000 tan metrik durian dari wilayah selatan Thailand, lapor agensi berita VnExpress.
Langkah berkenaan diambil bagi menangani kebimbangan berhubung isu lebihan bekalan durian susulan kemerosotan eksport ke China akibat masalah kualiti.
Ketua Pengarah Jabatan Perdagangan Dalam Negeri Thailand, Wittayakorn Maneenetr berkata, jumlah pengeluaran durian di Selatan Thai diunjurkan mencapai 752,515 tan pada tahun ini.
Angka tersebut meningkat 30 peratus berbanding musim sebelumnya.
Setakat ini, kira-kira 35 peratus daripada hasil berkenaan telah memasuki pasaran, manakala 489,199 tan lagi masih belum diedarkan.
Menurutnya, kejatuhan harga pada awal musim dipengaruhi oleh tindakan China yang menggantung sementara pesanan.
Tindakan itu berikutan kebimbangan terhadap kualiti buah yang belum matang, di samping saingan sengit daripada pembekal luar negara serta hasil pengeluaran tempatan dari wilayah timur dan timur laut Thailand.
Durian premium Monthong Selatan kini dijual pada harga 85-105 baht (RM10-RM12) sekilogram untuk gred AB, 60-80 baht (RM7-RM9) untuk gred C, dan 40-55 baht (RM4-RM6) untuk gred D.
Selain itu, pihak berkuasa turut melaksanakan strategi tambahan seperti mewujudkan pusat jualan terus, memberikan subsidi kos penghantaran pos, serta menyokong usaha pemprosesan berasaskan durian. – AGENSI














