PARIT BUNTAR – Pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang sah atau individu berdaftar di bawah Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) tertakluk kepada undang-undang Malaysia dan boleh dihantar pulang selepas selesai menjalani hukuman.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pemegang dokumen tersebut tidak kebal daripada undang-undang termasuk bagi kesalahan jenayah dan kesalahan lain yang tidak berkaitan imigresen.
“Kalau dia (warga asing) mencuri, dia salah. Kalau memandu kenderaan tanpa lesen, dia boleh diambil tindakan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Peluncuran Program Komuniti Korektif Kampung Angkat Madani dan Sekolah Angkat Madani Jabatan Penjara 2026 di Dewan Pejabat Daerah dan Tanah Tanjung Piandang di sini, hari ini.
Saifuddin Nasution berkata, pemegang kad UNHCR yang sah ketika ini tidak boleh diambil tindakan di bawah Akta Imigresen kerana kesalahan tinggal lebih masa atau memasuki negara tanpa dokumen.
Namun, katanya, kerajaan kini melaksanakan pendaftaran sendiri bagi membolehkan data dan status pelarian dikenal pasti dengan lebih terperinci.
Proses itu merangkumi pengumpulan maklumat seperti nama, alamat, umur, jantina, kemahiran dan data biometrik termasuk cap jari, pengecaman wajah dan iris mata.
“Apabila kita melalui semua proses itu, kerajaan Malaysia membabitkan Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia dan agensi berkaitan akan membuat keputusan sama ada warga asing itu berstatus pelarian atau tidak,” katanya.
Beliau berkata, kira-kira 21,000 individu berada di depoh imigresen termasuk 4,000 yang dikenal pasti sebagai pelarian, namun status mereka masih perlu ditentukan melalui proses verifikasi.
Tambahnya, bagi yang berstatus pelarian, terdapat tiga kaedah iaitu ditempatkan di negara ketiga, dihantar pulang ke negara asal jika keadaan kembali aman atau dihantar pulang selepas menjalani hukuman sekiranya disabitkan kesalahan di Malaysia. – KOSMO! ONLINE














