PRESIDEN Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat berharap skuad angkat berat negara mampu menjadi penyumbang utama pingat emas pada Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, malah tidak menolak impian melihat kesemua lima emas yang disasarkan Malaysia datang daripada sukan itu.
Menurut Ayub, keyakinan tersebut hadir selepas melihat sendiri persiapan rapi atlet sepanjang kem latihan selain percaya skuad kali ini merupakan barisan terbaik pernah dimiliki negara.
“Saya dimaklumkan Chef de Mission (CDM) bahawa kontinjen Malaysia menyasarkan lima pingat emas. Saya yakin tiga daripadanya mampu disumbangkan oleh angkat berat.
“Kalau sasaran negara ialah lima emas, alangkah baiknya jika kelima-lima pingat emas itu datang daripada angkat berat. Itulah yang kami harapkan,” katanya semasa penyampaian Amanat Kontinjen Angkat Berat Malaysia ke Sukan Komanwel, kelmarin.
Menurut Ayub, kejayaan itu bukan sesuatu yang mustahil sekiranya semua atlet dan jurulatih mampu mengekalkan disiplin serta semangat juang tinggi sepanjang berada di Glasgow.
“Kami mahu pergi ke Glasgow dengan semangat yang kuat dan tekad yang padu. Saya harap inilah penyertaan terbaik yang pernah kita lakukan di Sukan Komanwel.
“Berjuanglah bersungguh-sungguh kerana inilah peluang untuk mengangkat nama sukan angkat berat dan juga Malaysia di pentas dunia,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan atlet supaya menganggap temasya kali ini sebagai perjuangan paling penting dalam karier masing-masing dan tidak mensia-siakan segala pengorbanan yang telah dilakukan.
“Daripada perancangan yang telah dibuat, saya percaya sasaran tiga, empat malah lima pingat emas bukan sesuatu yang mustahil untuk dicapai jika semua kekal fokus sehingga pertandingan berakhir,” katanya.
Cabaran skuad angkat berat negara kali ini dipikul oleh Mohamad Aniq Kasdan yang beraksi dalam kategori 60 kilogram (kg), Muhamad Aznil Bidin (65kg), Syahmi Nor (88kg) dan Erry Hidayat (79kg)
Selain itu, cabaran negara turut digalas Muhammad Hafizuddin Roslin (88kg), Muhammad Farris Haikal (atas 110kg), Irene Jane Henry (48kg), Nur Syazwani Radzi (63kg) dan Siti Aqilah Farhana (atas 86kg).














