SEREMBAN – Barisan Nasional (BN) berikrar akan mengembalikan momentum pembangunan Negeri Sembilan yang tergendala sejak 2018 menerusi manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) yang menawarkan 88 usaha di bawah sembilan teras utama.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata manifesto bertemakan #HebatkanSemulaNegeriSembilan: Kestabilan Dibina, Negeri Dijaga, Rakyat Dibela, Kemakmuran Dicipta itu disusun berasaskan pengalaman pentadbiran BN selain bertujuan menyambung semula pelbagai agenda pembangunan negeri.
Katanya, pelbagai kemudahan asas termasuk jalan raya, sekolah, hospital, kawasan perindustrian, Felda, Felcra dan pembangunan bandar dibangunkan ketika BN mentadbir negeri ini namun banyak perancangan yang tidak diteruskan selepas parti itu tewas pada 2018.
“Pada 2018, BN kalah di Negeri Sembilan. Kita menerima keputusan rakyat dengan hati terbuka. Tetapi selepas itu, banyak dasar, program dan rancangan pembangunan BN tergendala.
“Momentum pembangunan yang dibina sekian lama tidak diteruskan dengan rentak yang sama,” katanya pada Pelancaran Manifesto BN di sini, malam ini.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata, justeru BN menawarkan pelbagai komitmen bagi menghidupkan semula pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan, memperkasa kebajikan rakyat dan mempercepat pembangunan negeri.
Manifesto itu antaranya menggariskan sasaran menarik pelaburan bernilai RM30 bilion dalam masa lima tahun, mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan termasuk 5,000 pekerjaan berpendapatan tinggi serta melatih 20,000 peserta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Selain itu, BN berjanji mengekalkan Negeri Sembilan sebagai negeri sifar miskin tegar, melaksanakan inisiatif satu Dewan Undangan Negeri (DUN) satu ambulans, tawaran 100 Biasiswa Khas kepada pelajar cemerlang setiap tahun, lesen penjaja percuma selama lima tahun, membina 25,000 buah rumah dan tidak menaikkan cukai pintu selama lima tahun.
Manifesto itu turut merangkumi 15 inisiatif Skim Salam Sejahtera serta cadangan penubuhan Unit Penyelarasan Pemantauan Pelaksanaan Manifesto bagi memastikan setiap janji dipantau dan pelaksanaannya diukur dari semasa ke semasa.- KOSMO! ONLINE














