KUALA LUMPUR – Hasrat beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah untuk meneruskan momentum cemerlang sebagai wakil terakhir Malaysia di Terbuka China 2026 tidak kesampaian apabila terkandas di pentas suku akhir selepas tewas kepada pasangan Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto, sebentar tadi.
Pada aksi yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, Changzhou itu, pasangan ranking kelima dunia berkenaan terpaksa akur dengan kekalahan straight set 16-21, 16-21 dalam tempoh 46 minit.
Pearly-Thinaah yang turun dengan misi memburu tiket ke separuh akhir bermula kurang meyakinkan apabila kerap melakukan kesilapan mudah sehingga memberi ruang kepada pasangan nombor tiga dunia itu menguasai rentak permainan.
Meskipun cuba merapatkan jurang pada pertengahan set pertama, pengalaman dimiliki Fukushima-Matsumoto membolehkan mereka mengekalkan kelebihan sebelum menutup set pembukaan dengan kemenangan 21-16.
Memasuki set kedua, Pearly-Thinaah bangkit memberikan tentangan lebih sengit apabila beberapa kali berjaya mengikat kedudukan, namun pasangan Jepun terus tampil lebih konsisten terutama dalam situasi mata-mata penting.
Ketenangan Fukushima-Matsumoto mengawal permainan di penghujung perlawanan akhirnya memadam harapan beregu negara apabila mereka melengkapkan kemenangan 21-16 sekali gus mengesahkan kemaraan ke separuh akhir.
Kekalahan itu turut menyaksikan berakhirnya cabaran Malaysia di kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 1000 tersebut selepas Pearly-Thinaah muncul wakil terakhir negara yang masih bertahan sehingga peringkat suku akhir. KOSMO! ONLINE














