PETALING JAYA – Luahan rindu seorang ibu terhadap anaknya, Aariz Hayyan, yang meninggal dunia awal tahun lalu, mengundang sebak apabila ruangan komen dipenuhi perkongsian daripada ibu-ibu lain yang turut kehilangan cahaya mata mereka.
Menerusi hantaran di akaun Threads miliknya, @hudaashulor, wanita itu memuat naik gambar Allahyarham Aariz Hayyan sambil mengajak orang ramai berpura-pura menjadi anaknya agar dia dapat melepaskan rindu.
“Awak semua pura-pura jadi Hayyan boleh tak?
“Assalamualaikum Hayyan. Hayyan sihat? Hayyan dah makan? Hayyan makan apa?” tulisnya.
Hantaran itu kemudian dibanjiri komen menyentuh hati daripada ramai ibu yang pernah melalui pengalaman sama, dengan masing-masing meninggalkan pesanan seolah-olah Hayyan sedang bersama anak-anak mereka di syurga.
“Hayyan dijaga oleh Nabi Ibrahim sini mummy. Jangan risau ya. Sini ramai kawan. Anak Palestin pun ramai. Hayyan bermain dengan mereka. Kami makan buah dan minum susu. Banyak susu dekat sini, macam sungai yang mengalir,” tulis seorang pengguna.
“Hayyan, nanti sampaikan salam rindu dan sayang dekat anak aunty. Nama dia Emiir Muafi,” komen Rabiatul.
Perkongsian tersebut turut menarik perhatian pelakon, Atikah Suhaime yang mengakui tersentuh membaca setiap komen ditinggalkan para ibu berkenaan.
“Lepas tengok komen rasa sedih. Luar biasa kekuatan ibu-ibu kehilangan anak,” komennya. – KOSMO! ONLINE














