PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat melibatkan beberapa kawasan di Semenanjung dan Sabah hingga pukul 4 petang ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, di Semenanjung, kawasan yang dijangka terlibat adalah Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk dan Hilir Perak) dan Pahang (Bera).
“Hujan lebat turut diramal berlaku di Selangor (Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang), Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor (Tangkak, Mersing dan Kota Tinggi),” katanya.
Di Sabah, amaran hujan lebat melibatkan kawasan Pedalaman (Tenom, Beaufort, Keningau dan Tambunan) dan Pantai Barat.
MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Jelasnya, amaran tersebut adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE













