SABAK BERNAM – Seorang pelajar tingkatan tiga maut selepas motosikal yang ditunggangnya bergesel dengan lori sebelum digilis kenderaan berat itu di Kilometer 53, Jalan Teluk Intan-Klang di sini, malam tadi.
Kejadian kira-kira pukul 11.15 malam itu mengakibatkan mangsa yang berusia 15 tahun meninggal dunia di lokasi berkenaan.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md. Yusof Ahmad berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda dari arah Klang menghala ke Teluk Intan berada di lorong kanan.
“Setibanya di lokasi tersebut, sebuah lori yang berada di lorong kiri mengubah haluan dan bergesel dengan motosikal mangsa sehingga menyebabkan remaja itu terjatuh sebelum dipercayai digilis.
“Remaja itu disahkan maut di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah untuk dibedah siasat,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Siti Atikah Md. Ali di talian 013-3328212 atau balai polis berdekatan. – KOSMO! ONLINE














