LONDON – Lewis Hamilton mengakui Ferrari kini berada di landasan tepat untuk kembali mencabar gelaran Formula Satu (F1), namun mengakui kesilapan sendiri menyebabkan dia gagal meraih keputusan lebih baik pada Grand Prix (GP) Belgium, Ahad lalu.
Juara dunia tujuh kali itu berkata, peningkatan prestasi jentera Ferrari sejak beberapa perlumbaan terakhir jelas memberi keyakinan apabila mereka kini mampu menyaingi Mercedes, termasuk di litar berkelajuan tinggi seperti Spa-Francorchamps.
Menurut Hamilton, pasukan Itali itu juga menunjukkan perubahan ketara dari segi strategi perlumbaan dan operasi sepanjang hujung minggu sehingga membolehkan mereka memiliki peluang realistik untuk memburu kemenangan.
“Pasukan membuat keputusan strategi yang sangat baik. Kami telah meningkatkan prestasi dalam pelbagai aspek dan saya rasa kami mempunyai kelajuan untuk menang.
“Selepas segala yang berlaku, saya tetap gembira kerana kami dapat membawa pulang mata berharga. Pasukan terus membawa penambahbaikan pada jentera setiap minggu dan itu sesuatu yang sangat positif,” katanya.
Bagaimanapun, Hamilton mengakui dirinya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keputusan sekadar meraih tempat keempat apabila terlibat dalam insiden kemalangan dalam sesi kelayakan sebelum dikenakan penalti lima saat susulan insiden pelanggaran dengan George Russell pada perlumbaan.
“Saya tidak menganggap diri saya malang. Saya melakukan kesilapan ketika sesi kelayakan dan itu memberi kesan kepada keseluruhan perlumbaan.
“Selepas kereta dibaiki, terdapat masalah pada sistem jentera yang menyebabkan keseimbangan berubah.
“Saya kehilangan masa setiap pusingan sebelum bermula lebih ke belakang dan kemudian menerima penalti. Ini semua bermula daripada kesilapan saya sendiri,” jelasnya. -AGENSI














